Anda di sini

Kebakaran tiga kapal kayu di Sandakan, seorang pekerja dikhuatiri lemas

Advertisement

SANDAKAN: Seorang pekerja kapal dilaporkan hilang dan dikhuatiri emas dalam kebakaran membabitkan tiga kapal kayu di perairan Batu Sapi dekat sini, kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Sandakan Kapt Maritim A.Razak Abdul Rahman berkata mangsa yang hilang dikenali sebagai Susulan Abraham, 36, warganegara Filipina dan operasi mencari mangsa sedang giat dijalankan di kawasan sekitar kejadian.

Katanya dalam kejadian kira-kira 3 petang itu lima pekerja kapal warganegara Filipina cedera dan lima lagi sempat menyelamatkan diri.

Menurutnya ketiga-tiga kapal terlibat musnah terbakar dan rangka kapal yang rentung telah tenggelam.

Beliau berkata siasatan mendapati ketika kejadian, sebuah kapal yang didaftarkan atas nama M/L Harma telah selesai memindahkan petrol di sebuah jeti untuk dihantar ke Bongao, Tawi-Tawi di selatan Filipina.

“Tiba-tiba berlaku letupan ketika enjin kapal dihidupkan dan pekerja kapal melepaskan tali tambatan untuk membiarkan  kapal tersebut hanyut menyebabkan api merebak ke dua lagi kapal awam yang diletakkan berhampiran jeti sama,” katanya di sini, semalam.

A. Razak berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang telah dilakukan kelmarin dan disambung semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata  seorang daripada lima pekerja kapal yang melecur dirawat di Hospital Duchess of Kent Sandakan, dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.

Katanya polis belum mendapat maklumat lengkap pengenalan diri lima mangsa itu.

“Siasatan mengenai kejadian itu sedang dijalankan termasuk mendapatkan dokumen berkaitan daripada syarikat terlibat,” katanya.

Beliau berkata laporan kehilangan seorang pekerja kapal itu diterima semalam daripada syarikat terlibat.  — Bernama

Advertisement