Anda di sini

Pesakit kanser di Sabah meningkat kepada 6,500 dalam dua tahun

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengarah Hospital Kanak-Kanak dan Wanita Likas, Dr Tan Bee Hwai berkata, pesakit kanser di Sabah telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh dua tahun.

Katanya, kini kira-kira 6,500 pesakit sedang membuat rawatan susulan di Pusat Perubatan Nuklear dan Radioterapi Hospital Likas berbanding jumlah 3,500 pesakit pada tahun 2013.

“Dengan peningkatan ini, ia menunjukkan satu anjakan luar biasa yang biasanya hanya mempunyai nisbah satu pesakit daripada 10,000 penduduk.

“Hakikatnya, di Sabah kini secara puratanya terdapat dua atau tiga pesakit kanser dalam 10,000 penduduk dan dijangka akan terus meningkat pada masa hadapan,” katanya ketika bercakap pada majlis sambutan Festival 1Malaysia ke-6 untuk pesakit ‘cancer survivor’, di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Hospital Queen Elizabeth 2, Dr Razak Tambi dan kira-kira 200 pesakit ‘cancer survivor’ sekitar Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pusat perubatan terbabit, Tan berkata pusat itu juga telah menyediakan rawatan kanser terhadap pesakit di kawasan Sabah, Labuan, Utara Sarawak dan juga Brunei.

Menurutnya antara kanser utama yang dihadapi oleh pesakit terbabit ialah kanser payudara, kolon (usus besar), servik dan juga kanser Nasofarinks.

“Kecacatan genetik juga antara penyumbang kepada faktor perkembangan kanser terbabit,” katanya.

Dalam pada itu Tan berkata, jumlah pesakit menerima rawatan di pusat terbabit semakin meningkat kerana dengan adanya peningkatan kesedaran dalam kalangan penghidap kanser.

“Selain itu, orang ramai juga semakin yakin dengan Pusat Radioterapi di negeri ini yang menyediakan rawatan perkhidmatan setanding dengan hospital yang ada di luar negara,” katanya.

Advertisement