Anda di sini

Warga asing dipenjara 10 bulan curi lapan selendang dan jam tangan

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara sepuluh bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan mencuri lapan helai selendang dan jam tangan milik sebuah kedai.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Razif A Rahmin, selepas mengaku bersalah mencuri semua barangan itu yang bernilai RM90.10.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 5 Disember tahun ini jam 10.30 pagi, di sebuah kedai, di pusat beli belah Suria Sabah, di sini.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan denda.

Selesai menjalani hukuman itu, Abdul Razif diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tindakan selanjutnya.

Pendakwaan itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Insp Isfandiar@Dr Jasdi.

Dalam kes berasingan, seorang wanita warga asing didakwa atas pertuduhan mencari pelanggan bagi maksud persundalan.

Miss Rodchana Phanangkpeo yang berasal dari negara Thailand, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah hotel, di Warisan Square, pada 6 November lalu jam 10.22 malam.

Sekiranya disabitkan bersalah atas, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, yang mana didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan pada 25 Januari tahun hadapan untuk pengurusan kes terhadap tertuduh, selepas mengaku tidak bersalah.

Bagaimanapun, tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan diperintahkan direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah hingga kes selesai.

Advertisement