Anda di sini

Mayat lelaki ditemui di kawasan hutan ladang kelapa sawit

Advertisement

TAWAU: Satu mayat lelaki terlentang dalam keadaan kepala hampir putus disyaki dibunuh ditemui di kawasan hutan belukar berhampiran bekas tapak kongsi ladang kelapa sawit FELDA Umas 1, di sini Rabu lepas.

Mayat terbabit yang ditinggalkan di lokasi berkenaan juga didapati dalam keadaan pergelangan tangan kiri sudah putus dan ditemui di dalam gaung sejauh kira-kira 8 meter dari bekas rumah kongsi.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus mengesahkan polis menerima makluman mengenai penemuan mayat itu oleh anggota Polis Bantuan FELDA Umas kira-kira jam 8.30 malam.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tawau bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mayat lelaki terbabit di lokasi seperti yang dilaporkan.

“Jarak tempat kejadian dari jalan utama adalah kira-kira 150 meter dan berhampiran mayat itu juga ditemui kesan darah serta kesan seretan darah kira-kira 70 meter,” katanya.

Fadil berkata, pasukannya turut menjumpai gigi yang dipercayai milik si mati namun identiti lelaki terbabit belum dapat dikenal pasti kerana wajahnya sudah reput dan berulat.

Pasukannya tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan terhadap mayat lelaki itu.

“Mayat lelaki itu dijumpai oleh seorang peneroka yang menghidu bau busuk dan kita percaya kejadian berlaku lebih 48 jam berdasarkan keadaan mayat yang ditemui.

“Unit K9 yang dihantar ke lokasi terbabit tidak menemui sebarang petunjuk dan mayat sudah dihantar ke Kamar Mayat Hospital Tawau untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Advertisement