Anda di sini

Kaji semula pemansuhan subsidi beras ST15

Advertisement

Rakyat Sabah dan Sarawak terbeban kerana tanpa subsidi harga akan melebihi RM30

SANDAKAN: Kerajaan diminta mengkaji semula pemansuhan program subsidi beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) bagi Sabah dan Sarawak.

Seorang pemborong yang juga peniaga di kawasan luar bandar, Mohd Fauzi Abin meminta kerajaan mengkaji pemansuhan berkenaan kerana berpendapat ia akan membebankan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

“Rakyat akan dibebani berikutan pemansuhan beras ST15 ini. Oleh itu, kita berharap kerajaan dapat mengkaji semula perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Menurutnya, jika sebelum ini harga beras ST15 sebanyak 10 kilogram berharga RM18, tetapi apabila dimansuhkan pasti harga akan melebihi RM30.

“Ini sudah tentu akan membebankan rakyat yang berpendapatan rendah di kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu membuat kajian secara mendalam mengenai masalah terbabit dan bukannya hanya melihat faktor ketirisan semata-mata, tetapi perlu melihat dari sudut pendapatan rakyat di luar bandar di Sabah dan Sarawak yang begitu rendah.

Mohd Fauzi berkata, beliau bersama peniaga lain akan bertemu dengan menteri berkenaan bagi mengemukakan masalah itu.

Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memansuhkan program subsidi beras ST15 berikutan terdapat banyak masalah ketirisan berkaitannya.

Ia berikutan kajian mendapati antara masalah yang berlaku ialah beras yang sepatutnya dikeluarkan untuk rakyat Malaysia berpendapatan rendah boleh dibeli oleh bukan warganegara.

Malah, ada juga laporan mendapati terdapat tempat yang tidak mendapat bekalan mencukupi manakala ada tempat yang mempunyai bekalan berlebihan.

Walaupun beberapa tindakan telah diambil kementerian termasuk menghentikan lesen pihak terbabit tetapi masalah berkenaan masih timbul.

Beras ST15 adalah beras tempatan yang mempunyai kandungan 15 peratus beras hancur yang kualitinya sedikit rendah berbanding beras tempatan biasa ST5 dibeli oleh majoriti pengguna dengan kandungan 5 peratus beras hancur.

Pengagihan beras ST15 yang bermula pada 2008 adalah program sementara untuk golongan termiskin membeli beras pada harga paling rendah.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya akan mencari mekanisme baharu bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk membeli beras selepas pemansuhan program subsidi beras ST15, mulai tahun depan.

Advertisement