Anda di sini

Gagal halang pelanggan bawa anjing: Sijil, logo halal digantung sementara

Advertisement
  Abdul (kanan) dan pasukan penguatkuasaan JHEAINS Tawau meneliti dokumen pensijilan halal premis francais terbabit dalam pemeriksaan mengejut di Tawau, kelmarin.

SENSITIF: Abdul (kanan) dan pasukan penguatkuasaan JHEAINS Tawau meneliti dokumen pensijilan halal premis francais terbabit dalam pemeriksaan mengejut di Tawau, kelmarin.

TAWAU: Sijil dan logo halal sebuah premis restoran francais di sini digantung sementara oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau kerana didapati gagal menghalang pelanggan membawa masuk anjing ke dalam premis terbabit.

Tindakan penggantungan sijil dan logo halal itu dilakukan hasil daripada pemeriksaan mengejut sepasukan penguat kuasa JHEAINS Tawau di premis terbabit kelmarin.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Tawau Abdul Imam Basiron berkata, tindakan itu diambil sementara menunggu laporan balas secara bertulis pihak premis terbabit diterima.

“Kita mengarahkan pihak premis itu untuk menghantar laporan bertulis mengenai insiden yang berlaku pada kadar segera sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Ketika ditanya sama ada sijil dan logo Halal premis itu akan ditarik balik, beliau berkata tindakan lanjut bergantung kepada laporan balas secara bertulis pihak premis berkenaan.

Abdul berkata, JHEAINS Tawau akan membuat penilaian dengan penelitian berhubung kes dan situasi yang berlaku sebelum menentukan tindakan susulan yang hendak diambil.

“Takrifan halal jelas mengatakan setiap premis perlu memastikan makanan tidak bersentuhan, bercampur atau berdekatan dengan binatang yang dilarang dimakan dari segi hukum syarak atau najis semasa penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan.

“Apabila menerima pengiktirafan halal, bukan hanya dari sudut penyediaan makanan diambil kira tetapi keadaan persekitaran premis juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penggantungan juga dibuat mengambil kira foto insiden anjing dibawa masuk ke dalam premis terbabit menjadi viral di aplikasi sosial.

Menurutnya, JHEAINS Tawau memandang serius isu itu dan berharap kesemua pemilik sijil dan logo halal di daerah ini tidak mengambil mudah peraturan ditetapkan.

“Kita berasa kesal kerana pekerja premis terbabit hanya membiarkan pelanggan mereka meletakkan anjing di kerusi sedangkan kejadian itu tidak seharusnya berlaku.

“Ini adalah isu sensitif dalam kalangan umat Islam dan pemilik ataupun pekerja premis perlu lebih bertanggungjawab terhadap sensitiviti pelanggan mereka,” katanya.

Abdul berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 60 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Advertisement