Anda di sini

BIMP-EAGA sambut baik Wawasan 2025 untuk bangun Rantau berdaya saing

Advertisement

KOTA KINABALU: Menteri-menteri dari Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) menyambut baik penggubalan ‘Wawasan 2025 BIMP-EAGA’ bagi membangunkan subrantau yang berdaya tahan, inklusif, mampan dan berdaya saing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata ia akan menggantikan Rangka Tindakan Pelaksanaan 2012-2016 yang akan menyokong dan melengkapi pelan hala tuju ‘ASEAN 2025: Bersama-sama Melangkah Ke Depan’.

Beliau berkata menteri-menteri juga menerima rangka kerja panduan penggubalan Wawasan 2025 BIMP-EAGA dan menggesa pihak berkepentingan dalam BIMP-EAGA, terutama sektor swasta dan kerajaan tempatan, agar merebut peluang itu.

“(Mereka) boleh memberi pandangan, input dan juga projek-projek yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di subrantau ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA Ke-19 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Pehin Datuk Lim Jock Seng yang juga Menteri Luar dan Perdagangan II; Setiausaha Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao, Filipina, Luwalhati R. Antonino; Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Dr Rizal Affandi Lukman; dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN Dr. AKP Mochtan.

Abdul Wahid berkata draf Wawasan 2025 BIMP-EAGA itu dijangka disiapkan menjelang Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-12 di Filipina.

Mengulas perkembangan berkaitan, Abdul Wahid berkata mesyuarat yang mengakui akan perlunya penambahbaikan kesalinghubungan bagi mempemudah pergerakan barangan dan penduduk EAGA serta integrasi ke dalam ASEAN, turut mengalu-alukan keputusan menteri-menteri pengangkutan memeterai referendum untuk meminda memorandum persefahaman mengenai Pengembangan Hubungan Udara.

Beliau berkata mesyuarat juga gembira projek tenaga saling hubung Kalimantan Barat dan Sarawak telah siap dan dijadualkan beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Mesyuarat turut mengulangi penegasan akan perlunya sinergi lebih baik antara sektor pengangkutan dan pelancongan bagi meningkatkan pembangunan destinasi pelancongan, katanya.

Abdul Wahid berkata mesyuarat juga menggesa Majlis Perniagaan BIMP-EAGA lebih proaktif dalam menarik sektor swasta, persendirian, kumpulan dan persatuan-persatuan industri untuk melabur dan menyokong inisiatif dalam BIMP-EAGA.

Turut diadakan hari ini ialah Mesyuarat Menteri BIMP-EAGA dan Northern Territory Ke-2 yang dihadiri oleh Menteri bagi Perhubungan dan Perdagangan Asia, Kerajaan Northern Territory, Australia, Peter Styles. – BERNAMA

Advertisement