Anda di sini

Lagi penyeludupan rokok berjaya ditumpaskan

Advertisement

 Kesemua 12 jerikin ini mengandungi 300 liter minyak petrol yang disyaki hendak di-seludup ke negara jiran.

TUMPAS: Kesemua 12 jerikin ini mengandungi 300 liter minyak petrol yang disyaki hendak di-seludup ke negara jiran.

SEMPORNA: Seorang lagi suspek penyeludup rokok putih berjaya diberkas Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kira-kira jam 9.40 pagi di kawasan Laut Gelam, di sini Isnin lalu.

Komander PPM Sabah ACP Mohamad Madun berkata, suspek berusia 21 tahun diberkas semasa pasukannya menjalankan tugas khas di kawasan perairan terbabit.

“Pasukan kita yang menaiki Bot D’Coy 2 (samaran) dan Bot Seahawk 2109 mengesan keberadaan suspek yang menaiki sebuah bot pam berwarna biru kuning,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya yang menjalankan pemeriksaan terhadap suspek dan bot pam terbabit berhasil menemui satu kotak yang mencurigakan di dalam ruang bot itu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kandungan kotak terbabit berisi 450 bungkus rokok putih jenama Astro Hijau yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

“Kita percaya rokok-rokok ini hendak dibawa untuk pasaran tempatan di sini,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin berhubung kejayaan terbaharu PPM Semporna.

Mohamad berkata, penahanan suspek dan rampasan terbabit dilakukan mengikut Akta Kastam 1967 termasuklah penyitaan bot pam, enjin bot dan shaft/ propeller bot terbabit.

Dalam kes berasingan, beliau mendedahkan PPM Semporna turut merampas 12 jerikin berisi 300 liter minyak petrol pada hari sama kira-kira jam 10.45 pagi di Laut Singgamata.

“Kita turut menahan dua orang suspek berumur 19 dan 66 tahun yang berada di atas bot fiber dan disyaki membawa petrol terbabit secara haram untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad berkata, siasatan awal menunjukkan kedua-dua suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen berhubung kebenaran membawa kesemua petrol berkenaan.

Berikutan itu juga, beliau percaya petrol yang diisi ke dalam jerikin itu hendak diseludup keluar ke negara jiran untuk memenuhi permintaan pasaran luar negara.

“Penahanan kedua-dua suspek dan barangan rampasan dalam kes ini dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Selain kesemua 12 jerikin berisi minyak petrol yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1,020 itu, PPM Semporna turut merampas bot laju dan enjin sangkut bot terbabit.

Advertisement