Anda di sini

Polis nafi banyak ikan tamban terdampar di pantai

Advertisement

Nelayan mengaku membuang ikan yang tidak berapa elok

 Gambar ikan-ikan tamban yang dikatakan banyak terdampar di Pantai Teluk Likas.

DIBUANG: Gambar ikan-ikan tamban yang dikatakan banyak terdampar di Pantai Teluk Likas.

KOTA KINABALU: Tidak ada kejadian ikan tamban terdampar di tepi Pantai Teluk Likas di sini sebagaimana yang diviralkan berlaku kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya ada membuat pemeriksaan di sepanjang kawasan pantai berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan banyak ikan tamban terdampar di tepi pantai.

“Pemeriksaan dan rujukan juga sudah dibuat ke Jabatan Perikanan Sabah serta Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang bertugas di kawasan terbabit.

“Pihak berkenaan turut menyatakan perkara yang sama iaitu tidak ada sebarang kejadian seperti yang diviralkan sama ada pada hari ini (kelmarin) mahupun minggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Sehubungan itu, beliau percaya gambar yang menunjukkan kejadian banyak ikan tamban terdampar itu adalah gambar lama.

Sebelum ini, gambar mengenai ikan tamban yang banyak terdampar di Pantai Teluk Likas viral menerusi laman sosial dan dikatakan berlaku beberapa hari lepas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Datuk Rayner Stuel Galid ketika dihubungi menjelaskan gambar berkenaan diambil sejak minggu lepas lagi dan bukannya kelmarin.

Menurutnya, pegawai jabatannya ada menjalankan siasatan ke kawasan itu selepas gambar berkenaan viral dan mendapati ikan-ikan terbabit dibuang oleh nelayan di kawasan itu.

“Pegawai saya ada menemu ramah nelayan berkenaan dan mengakui mereka membuang ikan-ikan yang sudah tidak berapa elok ke kawasan itu.

“Sekarang ini juga musim ikan tamban dan berkemungkinan ikan-ikan terbabit banyak memasuki pukat mereka dan ikan yang tidak berapa elok dibuang begitu sahaja,” katanya.

Justeru, pihaknya menasihatkan nelayan berkenaan supaya tidak membuang ikan-ikan di kawasan itu dan mereka boleh dikenakan tindakan oleh DBKK atas kesalahan membuang sampah.

Advertisement