Alternatif untuk menjadi mata dan telinga pihak polis
TAWAU: ‘Community Policing’ mampu membantu mengenal pasti suspek yang meragukan, mengawal vandalisme dan membawa masalah yang berkaitan jenayah kepada perhatian pihak polis.
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata, penubuhan Community Policing menjadi alternatif untuk menjadi mata dan telinga pihak polis dalam memberikan laporan aktiviti yang meragukan dan seterusnya dapat mengurangkan jenayah di kawasan kejiranan.
Beliau berkata, kerajaan dan seluruh rakyat meletakkan harapan dan keyakinan yang tinggi kepada kewibawaan, profesionalisme dan kecekapan PDRM untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan dapat dipelihara sesuai dengan moto PDRM, ‘Tegas, Adil dan Berhemah’.
“Dengan wujudnya keamanan dan kestabilan, kerajaan dapat menumpukan usaha untuk memacu pembangunan dan rakyat dapat memanfaatkan pelbagai peluang bagi meningkatkan taraf sosioekonomi.
“Tanpa wujudnya suasana aman dan selamat, sudah tentu pelbagai dasar dan program sama ada yang dijalankan oleh kerajaan mahu pun sektor swasta, NGO dan masyarakat tidak dapat dijalankan dan mencapai matlamatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melepaskan Konvoi Pencegahan Jenayah anjuran PDRM Tawau.
Program Pencegahan Jenayah/Community Policing itu dirasmikan oleh Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus.
Hamisa yang juga ADUN Tanjong Batu berkata, tanggungjawab mencegah jenayah, meningkatkan dan mengekalkan tahap keselamatan tidak sewajarnya dibebankan kepada pihak polis semata-mata.
“Apa yang lebih penting ialah setiap anggota masyarakat juga harus memainkan peranan dan tanggungjawab sosial masing-masing bagi memastikan persekitaran kita sentiasa selamat.
“Dalam konteks ini, setiap lapisan masyarakat perlu mempunyai kesedaran terhadap jenayah dengan mengetahui apakah punca berlakunya jenayah dan akibat atau kesan negatif perlakuan jenayah kepada masyarakat serta masa depan negara,” jelasnya.
Tambahnya, jenayah sering dikaitkan dengan masalah sosial yang berlaku dalam sesebuah komuniti. Peningkatan jenayah berat mahupun ringan sebenarnya tidak dapat dielak dengan asuhan dan didikan agama yang bermula dari rumah.