Anda di sini

SSEAYP bantu belia saling kongsi budaya ASEAN, Jepun

Advertisement

KOTA KINABALU: Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) membantu menggalakkan persahabatan serta kesefahaman dalam kalangan belia di Asia Tenggara dan Jepun dalam segala aspek.

Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Suzanah Liaw yang mewakili Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata, program yang sudah diadakan kali ke-42 itu memberikan peluang para belia untuk saling bertukar pendapat serta budaya masing-masing.

“Para belia akan dapat saling memahami budaya yang diamalkan oleh rakyat di 10 negara ASEAN serta Jepun menerusi perkongsian yang diberikan antara satu sama melalui pengisian program yang sudah ditetapkan.

“Dengan usaha ini, aspek budaya serta cara hidup yang diamalkan di negara lain dapat difahami dan dihormati oleh belia lain dan secara langsung ini akan memberikan satu ikatan persahabatan serta kesefahaman yang tinggi dalam kalangan belia.

“Kerjasama antarabangsa juga akan wujud melalui penglibatan peserta dalam perbincangan serta pengenalan setiap negara bagi peserta masing-masing dan seterusnya membantu meningkatkan peranan belia apabila balik di negara sendiri kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program ini dengan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Datuk Hatipah Ibrahim dan Pentadbir Kapal Nippon Maru, Hideki Uemera.

Beliau berkata pemilihan negeri Sabah untuk program kali ini memberikan satu kelebihan bagi memperkenalkan budaya Sabah kepada masyarakat luar.

“Salah satu pengisian dalam program ini adalah program keluarga angkat yang mana peserta diberikan peluang untuk hidup serta mendalami cara hidup masyarakat Sabah selama dua malam di rumah keluarga angkat masing-masing.

“Semestinya para peserta akan mempelajari gaya hidup serta pengalaman baharu mengenai keunikan budaya Sabah termasuklah dalam aspek pemakanan, bahasa dan sebagainya yang berbeza seperti apa yang diamalkan di negara masing-masing,” katanya.

SSEAYP adalah program tahunan yang diadakan sejak 1974 berdasarkan persetujuan antara Jepun dan lima negara Asean lain termasuk Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, Brunei Darussalam menyertai program ini pada 1985 diikuti Vietnam pada 1996 dan Myanmar serta Laos 1998 dan Kemboja pada 2000.

Pada program ini, kira-kira 300 belia dari negara Asean dan Jepun berpeluang merasai pengalaman unik tinggal bersama-sama di atas Kapal Nippon Maru selama 40 hari dan mendarat di Sabah selama tiga hari bermula 5 hingga 8 Disember depan.

Suzanah (dua kanan) melawat Kapal Nippon Maru semasa sesi lawatan kapal, di Kota Kinabalu kelmarin.

Advertisement