Anda di sini

Pemimpin KRT perlu kerap turun padang

Advertisement

SEMPORNA: Pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu kerap turun padang agar mutu kerja mereka dapat ditingkatkan dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dengan kerap bertemu penduduk setempat sama ada di kawasan taman perumahan atau kampung akan mewujudkan persefahaman dan segala permasalahan dapat diketahui.

“Pimpinan KRT diharap dapat menjalankan tugas dengan baik selaras dengan peranan yang telah dipertanggungjawabkan dan mereka perlu selalu turun padang untuk berjumpa dengan penduduk,” katanya.

Menurutnya, semangat kejiranan juga perlu ditingkatkan dengan amalan bertegur sapa dan mengetahui latar kejiranan.

Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan penubuhan lima KRT baharu di Semporna iaitu KRT Taman Semporna Center, Kampung Pababag, Kampung Mentaritip, Taman Wiramas dan Kampung Timbayan.

Mengulas mengenai penubuhan KRT baharu itu, Shafie berharap penubuhannya dapat membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi penduduk setempat dan dapat menjadi landasan masyarakat di kawasan berkenaan untuk bersama-sama menjaga perpaduan, kebajikan dan keselamatan di kawasan masing-masing.

Daerah Semporna kini mempunyai 29 KRT dan penubuhannya terus digalakkan selain usaha memperkasakannya terus dilakukan kerajaan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Semporna Mohd Lukman Syarifuddin berkata, pihaknya akan menubuhkan lebih banyak KRT di Semporna pada tahun depan.

“Kita mengalu-alukan sekiranya ada kampung atau taman perumahan yang ingin menubuhkan KRT. Namun sebarang permohonan itu perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu jumlah penduduk di kawasan tersebut melebihi 1,000 orang,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong, Pegawai Daerah Dr Chaco Bulah dan pemimpin-pemimpin KRT Semporna.

Advertisement