Anda di sini

Keadaan dorong belia berhijrah

Advertisement
 Kurup (kanan) berkesempatan berbual bersama tetamu jemputan yang turut hadir pada program Perbincangan Kumpulan Berfokus Memperkukuhkan Pembangunan Inklusif di Sabah.

BINCANG: Kurup (kanan) berkesempatan berbual bersama tetamu jemputan yang turut hadir pada program Perbincangan Kumpulan Berfokus Memperkukuhkan Pembangunan Inklusif di Sabah.

Pasaran semasa di Sabah kurang wujudkan peluang kerja untuk belia

KOTA KINABALU: Situasi pasaran semasa menyebabkan Sabah masih kurang keupayaan dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, walaupun keadaan itu belum mencapai tahap serius, namun ia tidak boleh diabaikan.

“Apabila situasi ini berlaku, kita tidak akan dapat mencungkil bakat dan keupayaan golongan belia khususnya dalam sektor pekerjaan.

“Keadaan ini juga mendorong golongan berkenaan untuk berhijrah ke tempat lain untuk memperolehi pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Perbincangan Kumpulan Berfokus Memperkukuhkan Pembangunan Inklusif di Sabah di sini kelmarin.

Menurutnya, menerusi perbincangan yang diadakan itu, ia dapat mengumpulkan pengamal pembangunan, organisasi berasaskan komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta ahli akademik.

Kurup berkata, idea-idea yang dihasilkan oleh pihak-pihak berkenaan tentunya akan menghasilkan usaha untuk menarik warga belia Sabah untuk bekerja semula di tempat sendiri.

“Melalui usaha ini juga, semua idea yang dihasilkan akan membantu kementerian untuk menyediakan ‘blueprint’ bagi menangani masalah ini.

“Pada masa sama, ia juga melihat kepada aktiviti ekonomi bagi mendapatkan penglibatan belia untuk berkecimpung secara sepenuhnya.

“Buat masa ini kita baru melaksanakan program sebegini di kawasan Kota Kinabalu dan Keningau. Selepas ini kita akan adakan program yang sama di Kudat dan Tawau,” jelasnya.

Selain itu, pihaknya memberi masa selama beberapa bulan dalam menyediakan blueprint berkenaan sebelum ia dibentangkan di kabinet.

Katanya, walaupun masih di peringkat awal pelaksanannya, pihaknya mahu menggiatkan usaha agar dasar yang membawa keberkesanan kepada rakyat dapat diwujudkan.

Menurutnya, setiap maklum balas yang diterima akan dianalisis secara terperinci sebelum tindakan wajar diputuskan.

Sehubungan itu, Kurup mahu agar rakyat di negeri ini sentiasa bersatu padu agar dasar yang diwujudkan nanti berjaya dilaksanakan.

Advertisement