Anda di sini

Hari Kesukarelawan Antarabangsa perlu disambut setiap tahun

Advertisement

KOTA KINABALU: Menyedari sambutan Hari Kesukarelawan Antarabangsa (IVD) tidak disambut setiap tahun di Sabah, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid mencadangkan agar IVD diinstitusikan dan disambut setiap tahun.

Usaha mengadakan sambutan sebegitu setiap tahun adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan sukarelawan di negeri ini yang selama 15 tahun ini banyak membantu masyarakat.

Katanya,buat masa ini hanya Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) sahaja yang melaksanakan Bulan Kebajikan untuk memberi penganugerahan kepada sukarelawan yang banyak menyumbang kepada masyarakat.

“Walaupun program ini melibatkan sukarelawan tetapi, ia bukan meraikan IVD. Mungkin adalah lebih baik jika IVD ini dinstitusikan di Sabah,” katanya dalam teks ucapannya semasa Majlis Perayaan Ulang Tahun ke-15 Persatuan Sukarelawan Sabah (SAVE) dan Hari Kesukarelawan Antarabangsa  (IVD) 2015, di sini pada malam Jumaat lalu.

Teks ucapan berkenaan dibacakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Siti Ameh Ruman.

Kemudian menyentuh mengenai usaha kerajaan dalam menghargai sumbangan sukarelawan-sukarelawan di negeri ini, Jainab berkata, melalui Bajet 2015, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi pelaksanaan program anjuran pertubuhan kebajikan di negeri ini.

Peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna melalui MPMS itu jelas membuktikan kerajaan mengambil berat tentang sumbangan sektor kesukarelawan.

Katanya, sumbangan yang besar itu antara bukti kerajaan prihatin dengan peranan dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program demi manfaat masyarakat di negeri ini.

Dalam Dasar Kebajikan Masyarakat Negara (DKMN) juga memerlukan setiap individu dan kelompok, pertubuhan sukarela dan organisasi swasta agar menghayati serta menyumbangkan idea kreatif untuk memainkan peranan aktif bagi menjayakan DKMN. Pendek kata, kebajikan masyarakat adalah tanggungjawab bersama semua pihak.

Jainab dalam teks ucapannya turut memuji usaha yang dilakukan Save sepanjang 15 tahun ini kerana berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Advertisement