Anda di sini

5 KRT baharu di Semporna

Advertisement

Landasan penduduk berganding bahu jaga perpaduan

SEMPORNA: Lima lagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ditubuhkan di Semporna, menjadikan keseluruhannya 29 KRT di daerah berkenaan.

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata lima KRT baharu itu ditubuhkan di Taman Semporna Center, Kampung Pababag, Kampung Mentaritip, Taman Wiramas dan Kampung Timbayan.

Beliau berkata pembukaan KRT itu sangat penting kerana ia dapat menjadi landasan masyarakat di kawasan berkenaan untuk bersama-sama menjaga perpaduan, kebajikan dan keselamatan di kawasan masing-masing.

“Selain itu KRT dapat memupuk kerjasama yang baik dan mengeratkan lagi silaturahim di kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan kelima-lima KRT itu, di sini semalam.

Mohd Shafie berkata penubuhan KRT itu dapat membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi penduduk setempat.

“Oleh itu kita berharap pimpinan KRT dapat menjalankan tugas dengan baik selaras dengan peranan yang telah dipertanggungjawabkan. Pimpinan KRT perlu selalu turun padang untuk berjumpa dengan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Semporna Mohd Lukman Syarifuddin berkata pihaknya akan menubuhkan lebih banyak KRT di Semporna, pada tahun depan.

“Oleh itu kita mengalu-alukan sekiranya ada kampung atau taman perumahan yang ingin menubuhkan KRT. Namun sebarang permohonan itu perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu jumlah penduduk di kawasan tersebut melebihi 1,000 orang,” katanya. — Bernama

Advertisement