Anda di sini

K’jaan perkukuh penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi

Advertisement

TENOM: Pelbagai usaha terus dilaksana kerajaan untuk mengukuhkan lagi kedudukan dan penyertaan kaum wanita dalam pembangunan ekonomi negara.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Tenom Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan berkata, proses melahirkan usahawan wanita bukanlah satu perkara yang mudah.

Ia kerana katanya, sebahagian daripada wanita hari ini masih sukar menerapkan budaya keusahawanan dalam kehidupan harian mereka.

“Kita sedia maklum bahawa matlamat membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih belum berjaya dicapai sepenuhnya,” katanya ketika berucap merasmikan Program Keusahawanan anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Tenom di Dewan Sri Antenom, di sini kelmarin.

Sehubungan itu, katanya menjadi tanggungjawab MPWK merintis peluang dan ruang kepada golongan wanita untuk bersama-sama dalam menjayakan matlamat berkenaan.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menggerakkan usaha bagi memberi kesedaran kepada wanita betapa pentingnya kerjaya sebagai usahawan dijadikan pilihan utama, sebagai salah satu pendekatan memastikan wanita turut menikmati hasil kekayaan negara,” katanya.

Rahmahjan yang juga Pengerusi MPWK Parlimen Tenom berkata, kejayaan beliau sebagai usahawan juga bukan mudah, sebaliknya terpaksa memanjat tangga demi tangga, sebelum sampai ke kedudukan pada hari ini.

“Jika kita gigih dan sabar, setiap impian dan cita-cita untuk berjaya itu pasti akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata menerusi program seperti itu, sudah tentu mereka dapat meneroka peluang dan potensi serta membina rantaian keusahawanan dengan rakan-rakan strategik yang terlibat dalam program berkenaan, melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dalam meningkatkan ekonomi keusahawanan diceburi.

Beliau juga berharap agar penganjuran itu mampu merangsang aktiviti keusahawanan yang menggalakkan dan seterusnya melahirkan usahawan wanita yang berilmu serta berkemampuan untuk bersaing di peringkat tempatan mahupun global.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Tenom Kasdim Yunus, Setiausaha UMNO Bahagian Tenom Esar Endamas, Naib Ketua Pemuda UMNO Tenom Rusali Andiar dan Ketua Puteri UMNO Tenom Norhazrilah Abd Latif.

 

Advertisement