Anda di sini

Jangan keluarkan kenyataan takutkan rakyat: Masidi

Advertisement

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyarankan pemimpin di negara ini agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang kekeliruan dan menyebabkan ketakutan kepada rakyat di negeri ini.

Demikian maklum balas Masidi mengenai kenyataan yang diberi Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengeluarkan kenyataan bahawa kumpulan pengganas Sulu di Selatan Filipina sedang merancang untuk melancarkan serangan ‘balas dendam’ di Lahad Datu susulan kegagalan mereka menawan Sabah pada 2013.

Nur Jazlan dalam kenyataannya berkata, pemantauan intensif akan diteruskan kerana wujud tanda kumpulan berkenaan sedang merancang untuk membalas dendam.

Masidi berkata, jika dibaca dan dirujuk kembali kenyataan Nur Jazlan, beliau hanya mengatakan perkara itu berdasarkan sumber yang belum disahkan.

Oleh itu katanya, rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang mengenai perkara itu kerana kepercayaan harus diletakkan kepada pasukan keselamatan di negeri ini.

“Lebih kurang kita bercakap mengenainya adalah lebih baik untuk kita, terutama untuk pelancongan. Saya rasa tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang akan menyebabkan kekeliruan dan ketakutan. Ia akan memberi kesan kepada ekonomi kerana pelabur mungkin akan berfikir untuk melabur di Sabah.

“Jadi nasihat saya, adalah lebih baik berdiam diri daripada berkongsi maklumat yang mengelirukan rakyat. Kita perlu sedar implikasi daripada setiap perkara yang kita katakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena Majlis Makan Malam Seminar Bencana Alam 2015, di sini pada malam Selasa lalu.

Masidi berkata, beliau bercakap mengenai isu itu sudah banyak kali dan jika ada mana-mana pihak mengetahui sesuatu tentang Sabah sekalipun, mereka perlu fikir sama ada ia perlu diberitahu kepada umum atau tidak.

Katanya, kenyataan itu dipercayai mengulas tentang keadaan yang berlaku selepas insiden pencerobohan di Lahad Datu dan bukannya keadaan sekarang.

Advertisement