Anda di sini

Program CEKAP bantu pekerja bebas dadah

Advertisement

KOTA KINABALU: Seramai 150 orang yang menjayakan Program Cemerlang, Efisien, Kerjasama, Amanah, Progresif (CEKAP) akan membantu memberikan pencegahan awal tentang penyalahgunaan dadah di tempat kerja masing-masing.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Naib Yang Dipertua PEMADAM  Kebangsaan dan Pengerusi PEMADAM Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, program itu adalah langkah terbaik yang dijalankan berikutan penyalahgunaan dadah di tempat kerja adalah masalah terbesar yang perlu diberi perhatian.

“Walaupun banyak program kesedaran antidadah yang dilaksanakan, majikan sering menafikan kewujudan masalah ini dan hanya melihat masalah ini sebagai kesan sampingan yang tidak serius.

“Sesetengah pihak pula beranggapan masalah penyalahgunaan dadah hanya isu individu itu sendiri dan beberapa pihak tertentu boleh menyelesaikannya secara mudah tanpa memikirkan impaknya pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Program CEKAP  serta Pelancaran ‘2016 Substance Awareness Calendar’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini kelmarin.

Jainab berkata, program yang dijayakan itu mampu menangani penyalahgunaan dadah di tempat kerja melalui kerjasama padu yang mampu diberikan oleh semua pihak.

“Dalam usaha mengurangkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja, program yang diadakan perlulah disertakan dengan kaedah tambahan termasuklah memberikan ceramah, serta perkongsian pengalaman oleh bekas pelaku dan juga forum dalam kalangan peserta program.

“Peserta program juga mampu mengenal pasti rakan yang mengalami masalah dadah seterusnya dapat menangani masalah ini melalui tindakan awal serta pendedahan kepada aktiviti yang boleh menghindarkan diri daripada gejala dadah.

“Usaha yang dilakukan ini juga dapat memberi pengajaran berguna kepada orang lain selain boleh disampaikan oleh peserta program kepada rakan sekerja lain serta mempraktikkannya bersama,” katanya.

Katanya, tindakan itu dapat mengurangkan anggapan sesetengah pekerja yang mengambil dadah untuk tujuan meningkatkan prestasi kerja yang pada hakikatnya perbuatan terbabit hanya akan membawa kesan negatif kepada individu serta masyarakat sekeliling.

“Hal ini terbukti dengan penyelidikan antarabangsa melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang merekodkan 29 negara termasuk Hong Kong, Indonesia, Jepun dan Peru mengalami kesan negatif terhadap ekonomi di negara terbabit akibat penyalahgunaan dadah,” katanya.

Jainab berharap dengan adanya lebih banyak program seumpamanya yang dijalankan pada masa hadapan akan membantu melahirkan rakyat Malaysia bebas dadah menjelang tahun 2020.

Turut hadir pada program ini ialah wakil Pesuruhjaya Polis Sabah Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Sabah Asisten Komisioner Mohd Ismon Suratman dan Timbalan Pengarah AADK Sabah Elmariah Chung.

Antara pihak yang menjayakan program ialah PEMADAM  Negeri Sabah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPK Sabah, Pelajar Sarjana Psikologi Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) SPADA 5.

Advertisement