Anda di sini

Pertimbang kenaikan gaji penjawat awam

Advertisement
 Omar (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Abas. Turut kelihatan Jamaluddin (tengah).

TERIMA KASIH: Omar (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Abas. Turut kelihatan Jamaluddin (tengah).

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan cadangan untuk meningkatkan kadar gaji penjawat awam.

Mengambil contoh kadar gaji berjumlah RM2,300, Syed Abas berkata kos sewa rumah sudah berjumlah RM1,500 dan sebahagian lagi RM700 hingga RM800 digunakan untuk pembayaran pinjaman kenderaan.

“Kesemua itu sudah menggunakan keseluruhan gaji RM2,300,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya hanya menggesa rakyat untuk terus setia dan menyokong pentadbiran, tetapi juga harus memikirkan masa depan generasi akan datang, khususnya dalam meningkatkan gaji kakitangan awam.

“Jangan biarkan ibu bapa masih perlu menanggung anak-anak mereka walaupun selepas mereka berkahwin.

“Jika ibu bapa mampu berbuat demikian mungkin masih dapat diterima, jika tidak, ia menjadi masalah,” katanya ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Muda bertemakan ‘Tiang Seri Pentadbiran Cemerlang: Memperkasakan Kepimpinan Hari Ini Demi Masa Depan Negara’, yang dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah, kelmarin.

Dalam pada itu, Abas berkata pembangunan kepimpinan generasi muda, terutamanya dalam kalangan penjawat awam perlu diberi keutamaan jika mahu negara ini terus maju.

Katanya, ia kerana kepimpinan dalam perkhidmatan awam dan negara ini akan diteruskan oleh generasi muda pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, Abas berkata ketika mempengerusikan Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), beliau juga telah melihat 40 peratus pasangan yang berkhawin pada usia 20 hingga 30 akan berakhir dengan penceraian selepas 10 tahun perkahwinan.

“Kadar perceraian di Sabah adalah sangat tinggi dan 80 peratus daripada perceraian itu telah dituntut oleh isteri melalui fasakh,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kanan Intan Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Pengarah Wilayah Intan Kampus Sabah Jamaluddin Mohd Ali.

 

 

Advertisement