Anda di sini

Pergiat usaha didik remaja agar tidak terjebak dalam masalah sosial

Advertisement

KOTA KINABALU: Usaha perlu dipergiatkan bagi membimbing serta mendidik golongan remaja supaya mampu mengelakkan diri daripada terjerumus dalam masalah gejala sosial.

Ia berikutan kebimbangan melihat jumlah kes kehamilan melibatkan remaja di negeri ini agak tinggi berbanding negeri lain.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, berdasarkan Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia, Sabah berada di kedudukan tertinggi yang mencatatkan kes kehamilan remaja.

Terdapat sebanyak 4,795 kes kehamilan remaja yang direkodkan di Sabah sepanjang tahun 2014 dan daripada jumlah itu, 8 peratus atau 372 kes melibatkan kes kehamilan bagi mereka yang belum berkahwin.

Beliau berkata, selain Sabah, negeri yang turut mencatatkan bilangan kes tertinggi adalah Sarawak dengan jumlah 3,395 kes, diikuti Selangor dengan 1,486 kes.

Bimbang melihat statistik itu katanya, usaha dalam menyediakan galakan, bimbingan, peluang dan persekitaran kondusif perlu dilakukan.

“Langkah sebegitu dilihat mampu membantu mengurangkan peratusan remaja yang terjebak dengan kegiatan tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sebening Kasih, Sejuta Harapan: Melestari Keluarga Bahagia di Dewan Institut Latihan Perindustrian, di sini kelmarin.

Jainab berkata, penganjuran program sedemikian mampu memberi manfaat kepada remaja melalui perkongsian ilmu untuk menyuntik dan memberi kesedaran kepada mereka agar tidak terjerumus dalam kegiatan sosial tidak bermoral.

“Saya difahamkan program ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran peserta terhadap isu masa kini yang boleh mengheret mereka ke kancah kehidupan yang tidak sihat serta memberikan pendedahan kepada peserta dengan gejala sosial yang dikecam dan dikutuk oleh masyarakat, agama dan negara.

“Pada masa sama, ia akan membantu menghindarkan diri mereka daripada ikut sama terjebak, di samping memberikan peluang untuk mereka mengenali agensi yang berkaitan secara langsung dan tidak langsung dengan kes-kes salah laku. Mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma melalui penganjuran program ini,” katanya.

Menyentuh kes rogol pula, Jainab berkata berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat sebanyak 12,473 kes rogol direkodkan bagi tempoh 2011 hingga Jun 2015.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 11,667 mangsa adalah remaja yang berumur 13 hingga 18 tahun. Jumlah itu menunjukkan 93.5 peratus kes rogol adalah melibatkan remaja dan selebihnya melibatkan kanak-kanak.

“Laporan PDRM juga menunjukkan bahawa jumlah pembuangan bayi bagi tempoh 2011 hingga Jun 2015 adalah sebanyak 435 kes bagi negeri Sabah,” katanya.

Advertisement