Anda di sini

Lima sekawan dipenjara sebabkan kematian seorang lelaki tempatan

Advertisement

KOTA KINABALU: Akibat menolong rakan membalas dendam, lima sekawan dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini kelmarin, atas kesalahan menyebabkan kematian seorang lelaki tempatan.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Erwan Ramlie, 20, Mohd Hafiz Bernard, 22, Awang Azri Abidin, 21, Najil Ananda, 20, dan seorang pesalah juvana berusia 17 tahun pada waktu kejadian, kini berusia 19 tahun, yang mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif.

Semua tertuduh melakukan perbuatan yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh hingga menyebabkan kematian Casthillo Maladan, 40, pada11 Jun tahun lalu jam 2.30 pagi, di tepi Jalan Lama Papar, hadapan Farm Ville’s Restaurant, Kampung Lengkuas Kinarut, Papar.

Mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun bagi pesalah juvana, Mohd Erwan dan Awang Nazri dipenjara 15 tahun, manakala Najil dan Mohd Hafiz masing-masing dipenjara 18 tahun.

Mengikut fakta kes, pada hari sama jam 3.40 pagi, pengadu membuat laporan polis mengatakan semasa bertugas di bilik gerakan, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang penolong pegawai perubatan yang mengatakan seorang lelaki dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri disyaki dipukul.

Mangsa yang dihantar ke wad kecemasan oleh seorang rakannya dan pekerja Farm Ville Restaurant, disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 11 Jun tahun ini kira-kira jam 3.40 pagi.

Mengikut keterangan dua saksi, pada hari kejadian jam 2.30 pagi, semasa mereka sedang minum bersama mangsa di Farm Ville Restaurant, tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak dikenali memanggil mangsa dan rakan-rakannya keluar dari restoran itu.

Mangsa terus diserang dan dipukul oleh sekumpulan lelaki berkenaan (semua tertuduh). Seorang rakan mangsa juga dipukul dan terus melarikan diri ke arah Kampung Lengkuas, manakala seorang lagi masuk semula ke restoran.

Walaupun mangsa cuba melarikan diri, semua tertuduh tetap menyerang dan mengejar ke arah jalan utama. Mangsa kemudiannya dijumpai oleh dua rakannya di tepi jalan raya kira-kira 50 meter dari restoran berkenaan.

Pada 12 Jun tahun lalu, satu bedah siasat dijalankan oleh pakar forensik dan hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati, terdapat kesan-kesan kecederaan pada bahagian kepala, dada kiri dan perut kiri.

Kesan kecederaan di kepala dipercayai akibat pukulan dan menyebabkan pendarahan, manakala tikaman di perut mengakibatkan putus pembuluh darah besar.

Punca kematian mangsa adalah disebabkan tikaman di abdomen dan pukulan objek tumpul di kepala.

Siasatan juga mendapati motif kejadian adalah berunsur dendam oleh salah seorang tertuduh. Pada 11 hingga 16 Jun tahun lalu, semua tertuduh berjaya ditangkap.

Turut dirampas ialah peralatan yang digunakan untuk memukul dan menikam mangsa semasa kejadian.

Mohd Erwan diwakili peguam Hairul V. Othman, Mohd Hafiz diwaklili peguam Saban Sawayan, Awang Azir diwakili peguam Watti Jinius, Najil diwakili peguam Muamar Julkarnain dan seorang lagi juvana diwakili peguam Nelson Anggang.

Dalam rayuan, pihak pembelaan masing-masing memohon agar hukuman ringan dikenakan terhadap anak guam mereka, dengan mengambil kira setiap tertuduh merupakan sumber ekonomi keluarga, memberikan peluang kepada mereka untuk membina hidup baharu dan sudah menyesal.

Semasa disoal oleh mahkamah, tertuduh pesalah juvana menyatakan, pada hari kejadian, tertuduh pergi ke kedai burger dan rakannya mengajak minum.

Tidak lama selepas itu, sepupunya membawanya balik ke rumah, tetapi tertuduh enggan. Sepupunya itu dihantar pulang ke rumah oleh rakannya Najil.

“Najil datang, kami (semua tertuduh) masih minum dan Najil tanya, mahu ikut pergi Segindai? Kami naik kereta (dua kereta), sampai jalan masuk Papar, ada kawan teriak pergi Farm Ville.

“Saya tengok ada orang (rakan tertuduh) panggil di dalam. Saya nampak kayu lalu ambil kerana mahu menolong rakan,” katanya dan menyatakan, dirinya juga tidak tahu mengenai pergaduhan itu.

Nurchaya menyoal tertuduh, mengapa tidak insaf walaupun ayahnya baru meninggal dunia hanya sebulan, sebelum kejadian berlaku.

“Kenapa tidak hormat (tempoh berkabung). Tuhan yang memberikan nyawa dan kamu tidak takut dengan akibat perbuatan kamu?, katanya, namun tertuduh hanya kelihatan tertunduk dan menyatakan menyesal.

Mohd Erwan pula menyatakan, dirinya tidak mahu mangsa mati, tetapi tidak menyangka akan berlaku seperti itu.

“Kalau ikut betul, saya tidak mahu berjumpa dengan mangsa lagi. Mereka pernah memukul saya pada tahun 2013. Kami terjumpa di karaoke dengan orangnya, terus dia ugut.

“Dia tanya di mana saya bersembunyi selama ini. Saya cakap tidak, saya di Sabindo saja. Tetapi yang buat saya tercabar dia cakap, “kamu mahu lagi terkencing dalam seluar”, terus saya marah dan pukul budak itu,” katanya.

Oleh kerana takut dicari oleh mangsa, tertuduh meminta pertolongan daripada rakan-rakannya yang bersetuju mahu menolongnya.

Manakala Mohd Hafiz dan Awang Azir menyatakan, mereka sememangnya ingin menolong rakan mereka.

Mohd Hafiz berkata, dia yang memulakan pergaduhan itu dengan mangsa, kerana pada ketika itu seperti mangsa mahu memukulnya.

Akibat takut dengan saiz tubuh mangsa yang besar, tertuduh mengambil sebatang besi dan memukul sebanyak empat kali. Manakala Awang Azir pula menggunakan seketul batu.

Sementara itu, Najil mengatakan tidak mempunyai apa-apa masalah terhadap mangsa, namun mengakui menggunakan sebilah pisau mencederakan mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menegaskan, hukuman maksimum harus dijatuhkan terhadap semua tertuduh kerana keseriusan kesalahan dan kepentingan awam.

“Mangsa meninggalkan seorang isteri dan tiga anak masing-masing berusia enam tahun, 15 dan 16 tahun. Pengakuan salah tidak seharusnya dipertimbangkan untuk diberikan hukuman ringan.

“Bagi tertuduh pertama, walaupun pesalah muda tetapi mengikut Akta Kanak-Kanak, tertuduh boleh dipenjara kerana ini adalah kesalahan serius,” katanya.

Beliau juga meminta semua tertuduh membayar pampasan terhadap keluarga mangsa, mengikut Seksyen  426 (1B) Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah memerintahkan pampasan sejumlah RM15,000 dibayar kepada keluarga mangsa, dan setiap tertuduh diperintahkan membayar sebanyak RM3,000 atau penjara enam bulan.

Advertisement