Anda di sini

Wanita dihukum gantung, didapati bersalah mengedar 336 gram dadah

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga asing hanya mampu tunduk dan menangis, apabila mengetahui dirinya dijatuhkan hukuman gantung mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas kesalahan mengedar dadah seberat 336 gram.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu terhadap Lan Yi Ling, 26, yang berasal dari China, selepas didapati bersalah di peringkat akhir pembelaan.

Keputusan itu dilakukan oleh mahkamah, selepas mendengar keterangan dan bukti daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dalam penghakiman Nurchaya, beliau mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan di luar munasabah.

Lan melakukan kesalahan itu pada 17 Ogos tahun lalu jam 6.30 petang, di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Terminal 1, di sini.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 22 Oktober tahun ini, tertuduh diperintahkan oleh mahkamah untuk membela dirinya, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Ketika peringkat pembelaan, Lan memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi.

Beliau memberitahu, dia diminta oleh seorang lelaki warga Afrika yang dikenalinya melalui laman sosial, untuk membawa contoh aksesori dan pakaian wanita ke Kuala Lumpur.

Namun, tertuduh terkejut kerana semasa penerbangan, dia mendapat tahu kapal terbang berkenaan akan melakukan transit di Kota Kinabalu.

Oleh itu, tertuduh meminta bantuan daripada pramugari untuk menolongnya turun semasa di lapangan terbang.

Tertuduh ditangkap, selepas kotak miliknya diimbas dan apabila pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan menjumpai dadah terbabit.

Timbalan Pendakwaraya Wan Farrah Farriza Wan Ghazali bertindak bagi Timbalan Pendakwaraya Nasir Amir Johari.

Advertisement