KOTA KINABALU: Musim tengkujuh dan laut bergelora mengakibatkan bekalan ikan segar semakin berkurangan dijual di pasar ikan sekitar bandar raya ini.
Hal ini menyebabkan peniaga berusaha menyimpan stok bekalan ikan sejuk beku bagi menjamin kelangsungan jualan mereka.
Tinjauan Utusan Borneo di Pasar Ikan Kota Kinabalu mendapati hanya beberapa jenis ikan sahaja yang dijual oleh peniaga di pasar itu.
Beberapa peniaga sempat ditemui termasuklah Indah Osman, 44, yang mengatakan masalah itu biasa setibanya musim tengkujuh.
Beliau berkata, nelayan kebiasaannya menghantar tangkapan ikan sekali dalam tempoh dua hingga tiga hari setibanya dari laut.
“Kini, para nelayan mengambil masa selama berminggu-minggu untuk kembali ke sini dari laut untuk menjual hasil tangkapan mereka kepada kami.
“Hal ini menyebabkan ikan segar sukar dijual pada hari kebiasaannya dan mengakibatkan harga ikan tidak menentu,” katanya.
Beliau yang berasal dari Likas berkata, harga yang ditetapkan juga adalah sama sepertimana harga biasa sebelum ini, bergantung kepada jumlah bekalan dan jenis ikan.
“Kami hanya menaikkan harga tidak melebihi daripada RM1 hingga RM1.50 disebabkan nelayan mengenakan caj lebih kepada kami ekoran kepayahan mereka menangkap ikan di laut, di samping harga minyak yang tidak menentu.
“Setakat ini, para pembeli juga tidak merungut kerana mereka juga faham akan situasi yang dialami oleh nelayan menjelang hujung tahun ini,” jelasnya.
Indah berkata, kehadiran pembeli juga semakin berkurangan disebabkan bekalan pelbagai jenis ikan tidak banyak dijual di pasar berkenaan.
Berikutan masalah itu katanya, mereka berusaha mendapatkan bekalan dari daerah Semporna sekiranya kurang bekalan ikan di bandar raya ini.
Sementara itu, Alson Eroh, 27, berkata, masalah kekurangan bekalan ikan kebelakangan ini hanya berlaku sementara sahaja.
Menurutnya, mereka juga tidak akan sesekali mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya berdasarkan situasi kebelakangan ini.
“Buat masa ini, kami hanya ada beberapa jenis ikan seperti kulisi, kulai, ikan merah dan ikan kayu. Harga sekilogram hanya mencecah RM5 hingga RM6 mengikut saiz ikan berkenaan.
“Kami tidak akan sesekali mengubah harga asal ikan seperti hari biasa kerana jika harga ikan naik, ia disebabkan beberapa faktor tertentu sahaja,” katanya.
Alson berkata, harga ikan kulisi juga dijangka tidak menentu dan akan naik sekitar RM6 hingga RM7. Manakala, harga ikan laut dalam pula biasanya sekitar RM10 hingga RM15 sekilogram, mengikut jenis ikan itu.
Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran kapal nelayan laut dalam yang semakin berkurang berbanding sebelum ini disebabkan berlakunya bulan penuh yang menyukarkan mereka mendapatkan hasil tangkapan yang banyak.
“Mereka biasanya membekalkan hasil tangkapan sekitar pinggir laut dan ikan laut dalam seperti tenggiri dan ikan putih kurang diperolehi buat masa kini,” katanya.
Sementara itu, bagi pembeli di pasar ikan itu, Ainon Othman, 61, masalah berkenaan sudah dalam jangkaan beliau setibanya hujung tahun.
Beliau yang kerap mengunjungi pasar ikan itu sempat meluahkan kebimbangan akibat kekurangan bekalan ikan segar.
“Hari ini, saya melihat majoriti pasar ikan sekitar bandar raya hanya menjual beberapa jenis ikan dan kebanyakannya hanya tinggal ikan kecil sahaja.
“Ikan laut dalam jelas berkurang, kalau ada pun hanya ikan tenggiri yang dijual dengan harga yang tidak menentu ekoran kekurangan bekalan ikan itu,” katanya.
Justeru, beliau berharap bekalan ikan segar akan beransur pulih bagi memenuhi kelangsungan keperluan masyarakat di negeri ini.