KUALA PENYU: Kerajaan negeri amat komited dalam memajukan industri pelancongan berikutan sektor terbabit merupakan pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri dan Malaysia amnya.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, bagi menzahirkan komitmen itu, kerajaan mahu pihak penganjur pesta memperbanyakkan lagi acara yang memaparkan keunikan tersendiri dalam sesuatu pesta yang dianjurkan.
“Saya saran pihak penganjur supaya sentiasa menambah baik sesuatu pesta kerana ia dilihat mampu memeriahkan lagi pesta itu sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara untuk datang menyaksikan keunikan pesta yang dianjurkan itu.
“Saya percaya penganjuran Pesta Rumbia kali ke-26 di Kuala Penyu ini bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat malah ia secara tidak langsung dapat menyatupadukan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum, budaya dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Rumbia Kuala Penyu Kali Ke-26 di Dewan Shah Bandar Makang, di sini kelmarin.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Limus Jury, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah Datuk Seri Wences Angang dan Pegawai Daerah Kuala Penyu Edmund Teo.
Sementara itu, Limus dalam ucapannya menggesa semua pihak di semua peringkat supaya sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bagi melakar pelbagai aspek pembangunan di daerah ini.
Beliau berkata, ia penting memandangkan kawasan itu mempunyai banyak potensi sama ada dalam bidang pelancongan, pertanian mahu pun perindustrian yang dilihat dapat memacu ekonomi setempat.
“Jika setiap dari kita memahami fungsi dan peranan masing-masing, ia dapat mewujudkan satu kombinasi mantap dalam usaha kita untuk melakar landskap pembangunan mapan di daerah ini.
“Setakat ini, beberapa permohonan bagi pembinaan Esplanade, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Perkampungan Budaya dan lain-lainnya telah mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.
“Justeru, sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak khususnya masyarakat setempat, golongan profesional, pengamal politik dan cendikiawan amat diperlukan untuk merealisasikan impian ini,” katanya.