Anda di sini

Jangan keluarkan kenyataan ‘bodoh’

Advertisement

TAWAU: Pemimpin-pemimpin kerajaan persekutuan diminta berhenti mengeluarkan kenyataan yang tidak perlu dan ‘bodoh’ mengenai isu-isu keselamatan di negeri Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Pang Yuk Ming menyatakan demikian berhubung pendedahan terbuka Timbalan Menteri Dalam Negeri terhadap ‘rancangan militan Sulu di Sabah’.

Menurutnya, pendedahan hasil maklumat yang masih dalam siasatan risikan itu dilihat seperti ‘ahli keluarga kita sendiri mengetuk paku terakhir untuk keranda orang Sabah’.

“Mungkin pemimpin kerajaan persekutuan sendiri tidak menyedari akan kesan buruk terhadap Sabah hasil pendedahan terbuka berkenaan,” katanya di sini kelmarin.

Pang berkata, pendedahan terbuka itu dikhuatiri menyebabkan Sabah kehilangan beratus-ratus juta ringgit khususnya dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk.

Beliau juga bimbang kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri terbabit akan menyebabkan tekanan negara asing terhadap Sabah semakin tinggi.

“Bilakah pemimpin-pemimpin kerajaan persekutuan belajar untuk ‘berhenti meletakkan kaki di dalam mulut mereka dan menggosok lebih garam ke luka kita?’

“Selama ini sudah banyak tindak-tanduk tidak sensitif dan menyakitkan yang dilakukan bukan sahaja pembangkang tetapi juga rakan-rakan kita dalam kerajaan persekutuan.

“Sudah tiba masanya kita letakkan titik noktah kepada semua perkara mengarut ini termasuk kes Nurul Izzah dan Tian Chua yang perlu diambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau percaya masanya sudah tiba untuk kerajaan negeri bertindak tegas terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan persekutuan yang mengundang kemarahan rakyat Sabah.

Menyentuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri juga, Pang menyifatkan pemimpin itu melakukan ‘jenayah ekonomi ke atas Sabah’.

“Informasi risikan sedemikian seharusnya ditangani dengan berhati-hati lebih-lebih lagi oleh seseorang yang mempunyai portfolio tinggi di dalam kerajaan persekutuan.

“Informasi sulit hasil risikan yang masih dalam siasatan tidak wajar didedahkan dengan sewenang-wenangnya tanpa asas atau faktor yang mendorong kenyataan itu diumumkan.

“Kita tidak tahu punca beliau mendedahkan maklumat yang belum disahkan itu kepada awam, namun yang pasti rakyat Sabah kini dalam ketakutan,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan terbuka itu mengundang persepsi yang menakut-nakutkan rakyat dan mengukuhkan ‘dakwaan salah’ kononnya Sabah sama sekali tidak selamat.

“Mungkin beliau sendiri tidak menyedari tindakannya itu bukan untuk melindungi negara tetapi lebih buruk menjejaskan kebolehan dan keupayaan pasukan keselamatan.

“Tindakan sebegini tidak pernah didengar berlaku di negara lain kerana pemimpin memahami kepentingan untuk tidak menimbulkan rasa takut atau gusar rakyat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri dipetik sebagai berkata militan Sulu di Selatan Filipina merancang untuk melancarkan ‘serangan balas dendam’ di Lahad Datu.

Pemimpin kerajaan persekutuan itu dipetik sebagai berkata perkara terbabit kononnya dirancang sebagai susulan kegagalan kumpulan militan itu menawan Sabah pada 2013.

Malah menurutnya, Kementerian Dalam Negeri turut dilaporkan sedang membuat pemantauan untuk menghapuskan rangkaian kumpulan berkenaan di pantai timur Sabah.

 

Advertisement