Anda di sini

Asap tebal kebakaran kejutkan penghuni rumah

Advertisement

 Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran sepenuhnya di sebuah rumah di Taman Tanah Emas Lido, Kota Kinabalu kelmarin.

TERBAKAR: Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran sepenuhnya di sebuah rumah di Taman Tanah Emas Lido, Kota Kinabalu kelmarin.

KOTA KINABALU: Suasana pagi Mohd Rajjamil Ismael, 33, dikejutkan dengan tragedi malang apabila rumah yang mereka diami sejak 32 tahun lalu musnah terbakar dalam kejadian di Taman Tanah Emas Lido, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa bersama empat orang yang berada di rumah terbabit termasuklah adik lelakinya, sepupu serta dua lagi rakannya masing-masing masih tidur.

Beliau turut mendengar bunyi letupan kecil dari bahagian siling tingkat atas rumah diikuti asap di tingkat berkenaan.

Salah seorang rakannya terjaga dan menyedari kejadian itu sebaik keluar dari tandas dan melihat asap hitam mula memenuhi ruang rumah serta merasakan haba yang panas.

“Kami tiada pilihan melainkan keluar dari tingkap bilik tidur memandangkan api semakin merebak di ruang tamu.

“Adik saya yang tidur di tingkat atas terpaksa memanjat tingkap dan melarikan diri melalui atap rumah.

Nasib baiklah tingkap rumah kami jenis ‘slide’, jika tidak tentu ia menyukarkan kami untuk keluar dari kebakaran,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Mohd Rajjamil berkata, semua barangan bernilai dan dokumen penting milik mereka sekeluarga turut musnah dalam kebakaran itu.

Sementara itu, kebakaran berkenaan turut merebak ke rumah jirannya yang melibatkan bilik di tingkat atas.

Semasa kejadian, jiran mereka tidak berada di rumah kerana berniaga di Tamu Jalan Gaya di sini.

Jonathan Ho, 22, berkata, sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu, dia dan adik perempuannya bergegas pulang.

Menurutnya, api yang merebak hanya melibatkan bilik dan tingkat atas rumah dan tidak merebak ke kawasan ruang tamu.

Mereka adik-beradik seramai tujuh orang bersama ibu bapanya tinggal di rumah berkenaan dan kejadian itu yang kedua kalinya berlaku sejak mereka menetap di situ.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohammad Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.36 pagi.

Katanya, jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 8.44 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.26 pagi.

 

Advertisement