Anda di sini

JPAM pantau keadaan banjir di Beaufort

Advertisement

BEAUFORT: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sentiasa melakukan pemantauan di beberapa kawasan kampung di sini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan untuk pemindahan penduduk ke kawasan lebih selamat.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sabah Leftenan Kolonel (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, pemantauan berkenaan membabitkan enam anggota, termasuk pegawai dengan dua jentera di lokasi kejadian.

“Antara operasi yang dijayakan JPAM Beaufort adalah memindahkan 33 pelajar terdiri daripada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) awal pagi kelmarin.

“Operasi jam 7 pagi itu berjaya memindahkan 12 pelajar lelaki dan 21 pelajar perempuan dari Sekolah Menengah (SM) St Paul ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 1 disebabkan sekolah terbabit terjejas akibat banjir,” katanya.

Mulliadi berkata dalam operasi berasingan, pihaknya melakukan pemantauan banjir di beberapa kawasan yang terjejas banjir.

“Seramai 23 anggota termasuk tiga pegawai dari JPAM Beaufort dan empat anggota JPAM dari Membakut bersiap sedia di tiga kawasan membabitkan 21 kampung terjejas di Beaufort, sembilan kampung di Klias dan empat kampung terjejas banjir di Membakut,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, paras air banjir masih berada dalam keadaan terkawal dan tiada pusat pemindahan dibuka bagi daerah Beaufort dan Membakut setakat jam 6 petang kelmarin.

Advertisement