Anda di sini

Projek Pan Borneo 100% untuk kontraktor Sabah

Advertisement

 Musa (kanan) bersama Joseph Pairin  (tengah) dan Datuk Seri Yahya Hussin memberi isyarat ‘Bagus’ sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

CERIA: Musa (kanan) bersama Joseph Pairin (tengah) dan Datuk Seri Yahya Hussin memberi isyarat ‘Bagus’ sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo akan ditawarkan 100 peratus kepada kontraktor tempatan Sabah yang layak dan berkeupayaan untuk membina projek itu, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata jaminan itu diberikan oleh kerajaan persekutuan melalui Majlis Ekonomi yang menetapkan supaya projek itu ditawarkan kepada kontraktor tempatan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju dengan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek Pan Borneo dengan kaedah rakan kongsi penyampaian swasta (PDP) bagi merancang, mereka bentuk, perolehan kontrak dan pengawasan projek.

“PDP adalah satu kaedah penyampaian khusus yang akan membantu kerajaan mempercepat pelaksanaan projek Pan Borneo dalam tempoh dan bajet ditetapkan.

“Dengan kaedah ini, risiko pelaksanaan dan penyiapan projek akan ditanggung oleh pihak PDP,” kata Pairin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan pada sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) yang ingin tahu sama ada pelaksanaan projek Pan Borneo terdiri daripada kontraktor tempatan seperti di Sarawak.

Pairin berkata pembinaan projek itu akan dilaksanakan secara tender terbuka seperti mana dilaksanakan di Sarawak; selain membahagikan lebuh raya sepanjang 706km itu di Sabah kepada beberapa kluster bagi memberi peluang kepada lebih banyak kontraktor berkeupayaan dan layak untuk melaksanakannya.

“Setakat ini, belum ada kontraktor ditawarkan untuk melaksanakan Pan Borneo Sabah fasa pertama,” katanya.

Katanya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan bermula pada Mac tahun depan sebaik sahaja reka bentuk terperinci membabitkan tiga pakej awalan iaitu Jalan Donggongan Papar Spur; Jalan Tawau-Semporna; dan Jalan Lahad Datu Bypass siap pada penghujung tahun ini.

Sementara itu, ketika mencelah soalan tambahan Lajim, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata peruntukan memang sudah diberikan kepada Sabah dan Sarawak seperti mana diumumkan dalam Bajet 2016.

“Cuma (Sabah) caranya PDP. Apa yang baik PDP ini, ia dikendalikan oleh orang Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang menjadi pengerusi kepada lembaga tender ini nanti dan kita minta juga kontraktor Sabah diberi keutamaan,” katanya, menambah kerajaan negeri turut menjalin kerjasama dengan swasta dalam projek itu.

Lajim ingin tahu kenapa kerajaan Persekutuan tidak menyediakan peruntukan geran projek itu seperti di Sarawak dan mengapa Sabah menggunakan kaedah PDP. — Bernama

 

 

Advertisement