Anda di sini

Penggunaan bahasa Inggeris di Parlimen bercanggah dengan Perlembagaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen DAP, Chong Chieng Jen menggunakan bahasa Inggeris di dalam Dewan Rakyat adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan Ahli Parlimen Bandar Kuching itu adalah tidak wajar dan seolah-olah ingin memperlekehkan Parlimen.

“Kita tahu Sarawak memang berbeza daripada kita, tetapi di peringkat kebangsaan bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi kita dan ia digunakan di dalam Parlimen dan juga di dalam mahkamah.

“Jadi saya anggap tindakan yang dilakukan Bandar Kuching (Chong) itu sebagai memperlekehkan dan tidak menghormati bahasa kebangsaan kita, ini bukan soal hak asasi tetapi soal bahasa rasmi.

“Di Parlimen, jika ahli Parlimen mahu berucap dalam bahasa Inggeris mereka perlu meminta kebenaran speaker,” katanya kepada pemberita selepas majlis graduasi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) sesi 2014/2015 di sini, semalam.

PLKK dilaksanakan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) bertujuan untuk mempertingkatkan modal insan kumpulan isi rumah pendapatan 40 peratus terendah melalui penyediaan kursus-kursus latihan.

Seramai 284 orang graduan PLKK menerima sijil pelbagai bidang semalam.

Chong sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri membangkitkan soal hak anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam bahasa Inggeris yang didakwa terkandung dalam Perlembagaan.

Tindakan beliau menimbulkan pertikaman lidah dengan beberapa ahli Parlimen yang lain yang tidak bersetuju dengan pendapat itu.

Dalam isu berbeza, Ismail Sabri ketika diminta mengulas laporan sejumlah ketua cawangan bahagian UMNO mendesak presiden parti UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan jawatan, menyifatkan percanggahan pendapat adalah perkara yang biasa di mana-mana organisasi.

“UMNO mempunyai lebih kurang tiga juta ahli dan saya percaya bukan semua yang tidak berpuas hati dan mahukan presiden letak jawatan. Ini tidak menggambarkan keadaan parti yang sebenar.

“Saya difahamkan ada lebih kurang 20,000 cawangan UMNO di seluruh negara, jadi setakat 100 cawangan yang tidak berpuas hati itu perkara biasa, ini isu kecil yang cuba dibesar-besarkan oleh pihak tertentu,” katanya. — Bernama

 

Advertisement