Anda di sini

Pelajar cacat penglihatan terima Anugerah Graduan Terbaik (Khas) UiTM Perlis

Advertisement

ARAU: Cacat penglihatan tidak menghalang Muhammad Razlan Ibrahim Mukhtar untuk merangkul Anugerah Graduan Terbaik (Khas) pada konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-83 di Dewan Semarak UiTM Perlis, semalam.

Graduan Diploma Pengajian Perniagaan itu kini menyambung pengajian di University of South Australia, City West Campus, Adelaide, Australia dalam bidang Inovasi Perniagaan dan Keusahawanan.

Muhammad Razlan, 21, memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.86 diwakili ibunya, Rotimah Abdul Muda, 45, menerima anugerah itu daripada Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

Ibunya yang berniaga nasi lemak di Butterworth, Pulau Pinang ketika ditemui pemberita menangis kegembiraan kerana usaha gigih anak sulungnya itu membolehkan beliau mencapai cita-cita menyambung pelajaran di luar negara walaupun memiliki kekurangan.

“Walaupun Muhammad Razlan buta kedua-dua belah matanya dan kami serba kekurangan, dia kuat semangat dan tidak pernah berputus asa.

“Bukan mudah bagi Muhammad Razlan tetapi saya yakin berkat doa serta sokongan tenaga pengajar UiTM, beliau mampu menghadapinya,” kata Rotimah yang merupakan ibu tunggal. — Bernama

Advertisement