Anda di sini

Najib pengerusikan mesyuarat MT UMNO di bangunan Parlimen

Advertisement

 Najib bersama Ahmad Zahid (kiri) sebelum memulakan mesyuarat Majlis Tertinggi di Bangunan Parlimen dekat Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh (tengah). — Gambar Bernama

BINCANG: Najib bersama Ahmad Zahid (kiri) sebelum memulakan mesyuarat Majlis Tertinggi di Bangunan Parlimen dekat Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh (tengah). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan di bangunan sementara di Parlimen di sini, semalam.

Najib yang juga Presiden UMNO tiba pada jam 6 petang, sementara anggota MT yang lain termasuk Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah tiba lebih awal.

Bagaimanapun, kelibat Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak kelihatan.

Mesyuarat yang diadakan lebih awal dari tarikh asal difahamkan bertujuan membincangkan persiapan bagi Perhimpunan Agung UMNO 2015 bulan depan.

Pada Ahad, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan diadakan di bangunan Parlimen, berbanding kelazimannya di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn bagi memudahkan anggota MT UMNO yang rata-rata juga adalah Ahli Parlimen.

Mesyuarat itu juga telah dipercepatkan dari tarikh asal 27 Nov berikutan Perhimpunan Agung UMNO yang semakin hampir selain terdapat permintaan daripada anggota MT yang tidak dapat hadir pada tarikh asal itu.

Dalam pada itu, seperti kebiasaannya mesyuarat itu mendapat liputan meluas media yang menanti di luar Bilik Jawatankuasa 2, tempat mesyuarat itu berlangsung. — Bernama

 

Advertisement