Anda di sini

JHEV kaji mekanisme pencen kurang upaya kepada bekas tentera

Advertisement

MUAR: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang membuat kajian terhadap pencen kurang upaya diterima bekas anggota tentera yang cedera ketika berkhidmat.

Ketua Pengarah JHEV Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud berkata kajian itu perlu dilakukan sejajar dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini, agar bekas tentera terbabit tidak begitu terbeban.

“Kami (JHEV) melihat ada keperluan menaikkan pencen kurang upaya kerana ada antara mereka yang cedera ketika berkhidmat dan tidak boleh bekerja selepas menamatkan perkhidmatan.

“Bagaimanapun, kenaikan pencen bergantung pada kecederaan dan kami masih membuat kajian supaya pencen itu dapat membantu mereka meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa,” katanya selepas majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan penyerahan wang kempen Tabung Pahlawan Muar, di sini semalam.

Turut hadir, Naib Presiden 1 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sazali Ismail dan Presiden PVATM cawangan Muar, Samsuddin Rais.

Sebanyak 56 bekas tentera yang berkhidmat pada 1960-an menerima pingat berkenaan terdiri daripada pesara dari Muar, Ledang, Segamat, Kluang dan Gelang Patah.

Mohd Noor berkata semua pesara tentera tidak kira menerima pencen atau sebaliknya, dinasihatkan berdaftar dengan JHEV bagi membolehkan pihaknya menyalurkan bantuan sesuai kerana kerajaan menghargai pengorbanan mereka selama ini.

Beliau, bagaimanapun berkata pihaknya berdepan dengan masalah untuk mengesan bekas tentera berkenaan.

“Mengikut rekod, hanya 130,000 daripada 363,000 pesara tentera yang berdaftar dengan JHEV. Justeru, kami berharap mereka mendaftar kepada kami atau PVATM supaya tidak ketinggalan untuk menerima pelbagai bentuk bantuan yang disediakan,” katanya. — Bernama

Advertisement