Anda di sini

Hubungan dengan China akan terus diperkukuh: Najib

Advertisement
 Najib bersalaman dengan Perdana Menteri China Li Keqiang pada majlis sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Perdana Menteri China Madam Cheng Hong. — Gambar Bernama

HUBUNGAN DUA HALA: Najib bersalaman dengan Perdana Menteri China Li Keqiang pada majlis sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Perdana Menteri China Madam Cheng Hong. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia memberi jaminan akan terus memperkukuhkan lagi hubungan dengan China dalam pelbagai bidang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya ingin menegaskan bahawa kedua-dua negara berkongsi hubungan erat dalam sejarah, budaya, bahasa malah masakan selain hubungan ekonomi dan perdagangan,” katanya dalam ucap tama pada Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di sini semalam.

Teks ucapan Najib dibacakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Forum berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri China Li Keqiang.

Najib berkata, Malaysia juga memberi penekanan terhadap hubungan rakyat dengan rakyat terutamanya dalam kalangan belia, dengan penubuhan Universiti Xiamen Kampus Malaysia (XMUMC) di Salak Tinggi, Sepang.

“Ini adalah kampus luar negara pertama yang diluluskan kerajaan China untuk menubuhkan sebuah Universiti China. Kerjasama ini akan melahirkan tenaga kerja mahir di kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata, bahagian satu, fasa pertama kampus berkenaan telah siap dibina serta sedia untuk mengambilan pelajar pertama pada Februari tahun depan.

“Bahagian pertama ini boleh menampung 500 pelajar sementara kapasiti untuk fasa pertama ialah 5,000 pelajar,” kata Najib.

XMUMC dianggar bernilai RM1.3 bilion, dibina di atas tapak seluas 60 hektar dengan mempunyai lima bangunan akademik, enam kediaman pelajar, pusat kegiatan, kemudahan sukan dan kafeteria.

Beliau berkata hubungan pendidikan seperti itu yang melibatkan generasi muda adalah petanda baik untuk hubungan masa depan kedua-dua negara. — Bernama

Advertisement