Anda di sini

Empangan Kaiduan tetap pilihan terbaik

Advertisement

Memenuhi keperluan Projek Skim Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 sehingga tahun 2050

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata pembinaan Empangan Kaiduan masih pilihan terbaik bagi sumber bekalan air mentah dalam pelaksanaan Projek Skim Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 bagi memenuhi keperluan bekalan air bersih sehingga tahun 2050.

Beliau berkata Jemaah Menteri Sabah melalui Kajian Kemungkinan pada 2009 dan 2011 membuat keputusan agar Kaiduan sebagai lokasi empangan diteruskan setelah mengambil kira beberapa alernatif sumber air lain serta kos yang terlibat.

Katanya selain pertimbangan terhadap alterntif berkenaan, keputusan Jemaah Menteri Sabah berkenaan juga dibuat dengan syarat kajian Penilaian Khas Kesan Alam Sekitar (SEIA) selari dengan kajian kemungkinan dijalankan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Selain daripada SEIA, Jawatankuasa Pemandu Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3-Empangan Kaiduan telah memutuskan pada bulan Mei 2015 agar kajian Penilaian Kesan Sosial (SIA) perlu dijalankan untuk mengutamakan penduduk yang terjejas sekiranya projek ini dilaksanakan kelak.

“Bagaimanapun, kajian SEIA dan SIA ini belum dapat dijalankan secara terperinci disebabkan oleh beberapa kekangan terutama halangan dan bantahan penduduk yang disokong oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO). Pada masa ini, pihak Jabatan Air Negeri Sabah sedang menyelaras kajian SIA dapat dijalankan bagi projek ini,” katanya.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata demikian ketika menjawab soalan Terence Siambun (PKR-Moyog) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini semalam.

Menurut Pairin tujuh alternatif sumber air untuk memenuhi keperluan bekalan air jangka panjang sehingga tahun 2050 yang telah dipertimbangkan kerajaan sebelum memutuskan mengekalkan Kaiduan termasuk pengambilan terus air dari sungai untuk loji rawatan yang baharu.

Bagaimanapun alternatif ini tidak sesuai kerana jumlah isipadu air yang dapat diekstrak adalah terhad dan tidak konsisten manakala kaedah ‘loji penyahmasinan’ pula akan melibatkan kos modal yang mahal, kos operasi serta penyelenggaraan berterusan yang tinggi dan tidak mesra alam.

Katanya sumber air mentah dari bawah tanah adalah terlalu terhad dan tidak ekonomi untuk dilaksanakan manakala cadangan pembinaan beberapa empangan kecil adalah tidak efektif dan melibatkan lebih banyak pengambilan tanah.

“Cadangan Empangan Mandalipau pula cuma menyediakan 40 peratus sumber air tersedia berbanding kapasiti cadangan Empangan Kaiduan dan melibatkan pertambahan kos pembinaan tinggi. Selain itu, ia akan melibatkan kawasan Taman Banjaran Crocker yang tidak boleh dicerobohi,” katanya.

Pairin berkata sumber air melalui pendekatan ‘pemindahan antara lembangan’ pula memerlukan kerja penyaluran air melalui terowong yang panjang dengan kos yang sangat tinggi dan sebagai contoh penyaluran air dari Sungai Padas memerlukan terowong sepanjang 80 kilometer.

Mengenai cadangan memproses semula bahan kumbahan, Pairin berkata selain tidak ada kawasan pengumpulan air yang telah diproses daripada sistem kumbahan, kaedah berkenaan juga melibatkan kaedah teknologi terkini dengan kos pembinaan dan operasi yang tinggi. — Bernama

Advertisement