Anda di sini

Tian Chua dalang pertemuan antara Nurul Izzah dan Jacel

Advertisement

Ahmad Zahid tegaskan kerajaan tidak akan berkompromi

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Batu Tian Chua bertanggungjawab dalam pertemuan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H.Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu pertemuan Nurul Izzah dan Jacel, yang dilihat jelas membabitkan isu berkaitan maruah dan kedaulatan negara.

“Ahli Parlimen Batu Tian Chua (adalah) orang yang bertanggungjawab menjalankan tindakan cara halus untuk menghubungkan apa yang dipanggil sebagai Kesultanan Sulu yang kononnya mahu menuntut semula wilayah kesultanan itu hingga ke Sabah.

“Jadi, saya harap Tian Chua berhati-hati dalam perbuatannya. Tian Chua harus lebih teliti dalam mengatur program untuk pemimpin-pemimpin partinya,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaikan ucap tama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di sini.

“Ini soal maruah, soal kedaulatan negara, kalau kedaulatan negara, ada undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Saya telah nyatakan bahawa kita boleh berbeza pendapat, kita boleh meraikan perbezaan pandangan tetapi soal kedaulatan negara, soal maruah negara, harus tiada kompromi ke atasnya,” tegas Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata meskipun Nurul Izzah telah memohon maaf terhadap tindakannya itu, ia tidak dapat mengubat perasaan keluarga mangsa yang terkorban, rakyat Sabah yang tanahnya dicerobohi serta perasaan anggota keselamatan yang bekerja keras mempertahankan negara.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dalam kenyataannya sebelum ini mengakui beliau bertemu Jacel pada 9 Nov semasa berada di Filipina bersama Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu.

Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

Enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh bertempur dan kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kerajaan berhak mengetahui sebab pertemuan Nurul Izzah dan Jacel, dan polis tidak memerlukan laporan untuk memanggil pemimpin PKR itu. — Bernama

Advertisement