Anda di sini

PPDNKK Kedah rampas baja bernilai RM44,000

Advertisement
 Shahrudin  (kiri) bersama pegawainya melihat sebahagian daripada 40,000 metrik tan baja yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang di Tajar bernilai kira-kira RM44,000 dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

HASIL SERBUAN: Shahrudin (kiri) bersama pegawainya melihat sebahagian daripada 40,000 metrik tan baja yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang di Tajar bernilai kira-kira RM44,000 dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah merampas 40,000 tan metrik baja bernilai RM44,000 dalam serbuan di sebuah gudang di Tajar di sini, tengah hari semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Shahrudin Hamzah berkata rampasan dibuat kerana pemilik gudang itu tidak mempunyai lesen menyimpan baja seperti yang termaktub dalam barangan kawalan berjadual.

Beliau berkata rampasan dibuat hasil risikan selama dua minggu selepas menerima maklumat awam sebelum serbuan dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari membabitkan 14 penguat kuasa PPDNKK.

Katanya pemeriksaan mendapati gudang itu menyimpan baja pertanian bersubsidi yang diletakkan dalam bungkusan baharu sebelum dijual kepada syarikat pertanian dan pemilik ladang.

“Hasil siasatan mendapati pemilik gudang itu membeli baja subsidi dengan harga RM13 setiap kampit dan telah menjalankan operasi berkenaan sejak dua tahun lepas,” katanya ketika ditemui di Tajar semalam.

Shahrudin berkata baja bersubsidi itu mudah didapati kerana pesawah yang mempunyai lebihan baja subsidi yang disediakan kerajaan akan menjual kepada pihak lain bagi mendapatkan keuntungan lumayan.

Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 30-an dipercayai penjaga gudang itu bagi membantu siasatan dan sedang mengesan pemilik gudang berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Baja itu untuk pasaran di negeri sekitar utara dan kita sedang siasat harga sebenar yang dijual semula kepada sektor pertanian.

“Kes ini disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 jika sabit kesalahan denda bagi individu RM1 juta atau tiga tahun penjara dan bagi syarikat pula sebanyak RM2 juta,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, pihaknya turut merampas 25 botol racun tiruan yang diimport dari Thailand dengan nilai rampasan RM3,000 di sebuah setor di Simpang Empat di sini.

“Kita tahan seorang lelaki dipercayai penjaga setor itu untuk siasatan lanjut. Kita terima rungutan daripada penjual racun sah mengenai kebanjiran racun tiruan yang tidak diketahui tahap keselamatan kepada penggunanya,” katanya.

Shahrudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 jika sabit kesalahan bagi individu denda RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tiga tahun manakala bagi syarikat denda RM15,000 bagi setiap barangan. — Bernama

Advertisement