Anda di sini

Maklumat identiti kaum, bangsa masih diperlukan dalam beberapa borang kerajaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Maklumat identiti kaum atau bangsa masih diperlukan dalam beberapa borang rasmi kerajaan kerana melibatkan aspek perundangan dan keperluan tertentu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata ruangan maklumat identiti kaum masih dikekalkan dalam beberapa borang kerajaan disebabkan keperluan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan perundangan-perundangan tertentu.

Katanya maklumat kaum juga dikekalkan bagi memenuhi kehendak pemegang taruh dan bagi tujuan penyelidikan dan perancangan.

“Usaha bagi merealisasikan Bangsa Malaysia melalui borang rasmi kerajaan telah bermula pada 2009.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Julai 2009 telah bersetuju bahawa borang-borang yang digunakan oleh kerajaan, melainkan MyKad dan dokumen penting tertentu dikaji semula oleh agensi-agensi kerajaan untuk menggugurkan maklumat identiti kaum yang tidak diperlukan,” katanya menjawab soalan lisan Laksamana Pertama(B) Mohamad Imran Abd Hamib (PKR-Lumut) di sini.

Mohamad Imran bertanyakan bagaimana Perdana Menteri merealisasikan Bangsa Malaysia dengan memperkenalkan semua borang kerajaan yang tidak menyediakan ruang “Bangsa” dan memadai dengan ruang “Warganegara”.

Entulu berkata berikutan keputusan jemaah menteri itu, agensi-agensi kerajaan telah mengambil tindakan bagi mengkaji keperluan penggunaan identiti kaum dalam borang rasmi kerajaan di peringkat masing-masing.

“Tinjauan Mampu (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) pada 2011 ke atas 346 borang rasmi kerajaan mendapati hanya 198 borang dikekalkan ruangan identiti kaum disebabkan keperluan dan tujuan tertentu yang dinyatakan,” katanya. — Bernama

Advertisement