Anda di sini

Lelaki dilepas dan dibebas tuduhan bunuh

Advertisement

Dua rakannya bagaimanapun, berdepan dengan pertuduhan pindaan lupus bukti

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan membunuh seorang lelaki di Kota Tinggi, dua tahun lepas, manakala dua rakannya dipanggil membela diri kerana melupuskan bukti.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak berkata, ini kerana mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan bunuh ketiga-tiga tertuduh, namun, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap dua daripada mereka iaitu melupuskan mayat mangsa.

Terdahulu, Ruhaizat Mohamad, 37, Mohamad Nur Umarul Tamrin, 22 dan Mohd Farhan Rosli, 29, bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa membunuh Abdul Rashid Ismail di Jambatan Jalan Bypass Kota Tinggi, kira-kira jam 11 malam, 15 Jan 2013.

Ruhaizat dan Mohamad Nur Umarul yang bekerja sendiri manakala Mohd Farhan yang merupakan seorang pengurus tadbir operasi di sebuah pihak berkuasa tempatan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata tiga elemen diteliti dalam kes itu iaitu identiti mangsa dapat dibuktikan, kecederaan yang dialami mangsa sehingga menyebabkan kematiannya juga dapat dibuktikan, namun, kematian mangsa adalah disebabkan oleh tindakan ketiga-tiga tertuduh dengan niat bersama, gagal dibuktikan.

Beliau berkata pendakwaan juga berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ruhaizat dan Mohamad Nur Umarul iaitu membuang dan melupus mayat Abdul Rashid di jambatan, tetapi gagal membuktikan Mohd Farhan turut terlibat dengan perbuatan terbabit.

Sehubungan itu, Ruhaizat, Mohamad Nur Umarul dan Mohd Farhan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh, namun, Ruhaizat dan Mohamad Nur Umarul berhadapan pertuduhan pindaan iaitu membuang mayat Abdul Rashid.

Ruhaizat yang diwakili peguam Zamri Idrus dan Mohamad Nur Umarul yang diwakili Muhammad Abdul Kadir, mengangguk memahami pertuduhan melupus bukti itu yang didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh yang sama dan kemudian meminta dibicarakan.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abdul Majid dan Mohd Sofian menetapkan 14 Dis ini sebagai tarikh perbicaraan untuk memanggil saksi yang terlibat dalam kes itu.

Sementara itu, Mohd Farhan yang diwakili peguam Mohd Daud Ismail ketika ditemui di pekarangan mahkamah melahirkan rasa lega dan syukur atas keputusan terhadapnya.

Dia yang berasal dari Bandar Tenggara, Kota Tinggi turut dilihat menitiskan air mata sambil memeluk anggota keluarganya. — Bernama

Advertisement