Anda di sini

Yayasan Sejahtera laksana program ‘WEE’ tingkatkan ekonomi wanita Kampung Suang Kina

Advertisement

KOTA BELUD: Yayasan Sejahtera sedang melaksanakan program ‘Pemerkasaan Ekonomi Wanita’ (WEE) selama 18 bulan bermula September lepas, di Kampung Suang Kina dekat sini, bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi 75 wanita di kampung berkenaan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sejahtera Malaysia, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata program dilaksanakan badan bukan kerajaan (NGO) itu adalah dengan memberi latihan kemahiran serta bantuan peralatan kepada peserta program berkenaan.

“Melalui program itu, beberapa bantuan latihan kemahiran dan peralatan diberikan kepada peserta termasuk kursus memasak kuih muih tradisional,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Graduasi Tahun Enam dan Anugerah Murid Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Suang Punggor di sini hari ini.

Selain WEE, beliau berkata Yayasan Sejahtera turut mengadakan program ‘Teaching for Change’ iaitu pelaksanaan kelas tambahan bagi mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik kepada pelajar SK Suang Punggor, selama setahun.

Katanya kelas tambahan melibatkan murid Tahun Satu hingga Enam itu diadakan dengan kerjasama penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS).

SK Suang Ponggur yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari sini, mempunyai 225 pelajar dan 21 tenaga pengajar termasuk tiga Anggota Kumpulan Sokongan (AKS).

Faizah berkata Yayasan Sejahtera juga mengadakan beberapa projek bagi pembangunan penduduk di Kampung Suang Punggor serta Kampung Song Song sejak 2012, dan sehingga kini 302 penduduk kedua-dua kampung itu mendapat bantuan.

“Projek yang dijalankan termasuk bekalan air bersih, ‘teaching for change’ dan projek sara diri,” katanya.

Pada majlis berasingan, Faizah turut memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran, Peter Jay Apang, yang rumahnya hangus dijilat api di Kampung Eloi, Pitas pada Oktober lepas. – BERNAMA

Advertisement