SEPANG: Tiada rehat panjang untuk atlet wushu negara walaupun mereka mencatat keputusan cemerlang pada Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia baru-baru ini serta beberapa kejohanan utama sepanjang 2015.
Jurulatih kebangsaan Lim Yiew Fai berkata rehat yang panjang tidak diberikan kepada anak buahnya bukan untuk ‘menyiksa’, sebaliknya bagi mengekalkan tahap konsistensi dan stamina yang dimiliki ketika ini.
“Atlet akan berehat selama dua hari sebelum kembali menjalani latihan seperti biasa di MSN (Majlis Sukan Negara).
“Kita sudah ada beberapa kejohanan yang akan disertai tahun hadapan dan saya tidak mahu atlet kita hilang tumpuan sehingga gagal mendapat keputusan yang baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di klia2 di sini semalam.
Skuad negara menamatkan kempen Kejohanan Dunia ke- 13 di tangga keenam dengan tiga pingat emas, empat perak dan empat gangsa.
Pingat emas negara diperoleh menerusi Ho Mun Hua dalam acara Nandao lelaki, Chan Yu Li (Taijiquan wanita) dan Loh Jack Chang (Taijiquan lelaki).
Pingat perak pula dimenangi Diana Bong (Nanquan wanita), Wong Weng Son (Changquan dan Qiangshu lelaki) dan gandingan Chai Fong Wei dan Phoon Eyin (Duilian wanita).
Empat pingat gangsa negara diperoleh menerusi acara Nanquan lelaki (Ho Mun Hua), Jianshu lelaki (Wong Weng Son), Ng Shin Yii (Taijiquan wanita) dan Taijijian lelaki (Loh Jack Chang).
Berhubung pencapaian skuad negara pada kejohanan itu, Lim berkata beliau sangat berpuas hati dengan prestasi semua atlet khususnya atlet remaja.
“Saya gembira dan bangga dengan pencapaian mereka khususnya atlet remaja. Mereka dapat mengawal keadaan dan menunjukkan kekuatan mental yang sangat tinggi, tanpa menunjukkan rasa gementar ketika berdepan atlet lain yang kebanyakannya sudah berada pada tahap yang tinggi,” katanya.
Pada kejohanan itu, kuasa besar sukan wushu iaitu China muncul juara keseluruhan dengan 14 emas dan satu perak, diikuti tuan rumah Indonesia dengan tujuh emas, tiga perak dan enam gangsa manakala Iran di tangga ketiga dengan enam emas, tiga perak dan satu gangsa. — Bernama