Anda di sini

Sebatang jalan di Kpg Buntal akan dinama Jalan Rasli Buang

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri akan menamakan sebatang jalan di Kampung Buntal sebagai Jalan Rasli Buang, sebagai pengiktirafan kepada jasa beliau yang merupakan pejuang di negeri ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, bekas askar Rasli Buang merupakan tiga daripada rakyat Sarawak yang menerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa.

“Sebatang jalan di Kampung Buntal akan dinamakan dengan nama Trooper Rasli Buang, iaitu penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diarah memulakan kerja pelaksanaan.

“Selain itu juga dalam mesyuarat bulan lepas kabinet telah bersetuju pusara Allahyarham Rasli Bujang dinaik taraf sebagai pusara pahlawan di tempat asalnya iaitu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buntal di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis makan malam Kempen Tabung Pahlawan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kuching yang dihadiri Penaungnya juga Ahli Dewan Undangan Negeri Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni di sini, malam kelmarin.

Menurut Abang Johari bagi kos kerja pembinaan pusara Rasli akan ditanggung oleh kerajaan negeri dan melantik DBKU sebagai agensi pelaksana kerja-kerja menaik taraf berkenaan.

“Ia adalah usaha kita mengiktiraf jasa dan perjuangan beliau dan kerajaan sentiasa mengiktiraf pahlawan yang banyak berkorban demi negara,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Perumahan berkata, Perbadanan Pemaju Perumahan (HDC) turut akan memberi keutamaan kepada bekas tentera dan polis untuk memohon Rumah Mampu Milik (RMM).

Namun kata beliau senarai atau permohonan mereka harus diajukan melalui persatuan masing-masing bagi memudahkan urusan.

Katanya antara kawasan yang dibangunkan dengan projek RMM berkenaan di Sungai Bedaun di Jalan Sultan Tengah.

“Perumahan ini juga dibuka kepada masyarakat umum namun jika ada bekas tentera atau polis yang mahu memohon, maka kita akan memberi keutamaan kepada mereka.

“Bagaimanapun kita harus diajukan melalui persatuan kerana kita akan menyelaraskan permohonan melalui persatuan,” katanya.

Pada majlis yang sama beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM30,000 kepada persatuan untuk menjalankan aktiviti mereka.

Advertisement