SHAH ALAM: Malaysia muncul juara acara futsal selepas dengan mudah mengalahkan Brunei 6-1 pada perlawanan akhir temasya Sukan Perkhidmatan Awam ASEAN 2015 (ASCG 2015) di Pusat Sukan Triways, di sini semalam.
Penyerang utama, Mohd Faisal Saharudin menjaringkan dua gol seawal minit kedua dan minit ke-17 untuk membantu skuad negara mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Pada aksi babak kedua, Malaysia menguasai permainan dan menambah empat lagi gol manakala gol saguhati Brunei diperoleh pada minit-minit terakhir perlawanan.
Mohd Faisal memenangi gelaran ‘Kasut Emas’ apabila muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 13 gol.
Jurulatih skuad negara, Zainal Zolkefri menyifatkan keazaman, semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain merupakan faktor kejayaan skuad negara.
Sementara itu, di KUALA LUMPUR, skuad negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas kalah 3-1 kepada Indonesia dalam final acara ping pong di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Pemain negara, Mohd Shakirin Ibrahim gagal menyumbang mata pertama dalam acara perseorangan lelaki apabila kalah 11-8, 7-11, 9-11, 11-4 dan 8-11 kepada Dian David Mickael Jacobs.
Indonesia meneruskan rentak kemenangan apabila Christine Ferliana mengalahkan bekas pemain negara, Beh Lee Wei, yang juga jurulatih negara, 11-8, 8-11, 3-11, 11-7, 12-10 dalam acara perseorangan wanita.
Bagimanapun, pemain veteran, Tan Kin Chin mengembalikan semula harapan skuad negara apabila menundukkan Omay Suryaman 11-8, 11-6, 12-10 dalam acara perseorangan lelaki veteran.
Namun beregu wanita, Nuni Sugani/Ceria Nila Sari Jusma mengesahkan pingat emas Indonesia apabila menyingkirkan pasangan negara Bee Lee Fong/Chooi Wei San dengan straight set 11-9, 11-7, 11-9. — Bernama