Anda di sini

Tiong berkobar sahut cabaran boling SUKMA tahun depan

Advertisement

 Tiong mempamerkan pingat emas dimenangi pada Kejohanan Master Lelaki pada Kejohanan Boling Antara Bandaraya Asia Ke-29 baru-baru ini.

MEMBANGGAKAN: Tiong mempamerkan pingat emas dimenangi pada Kejohanan Master Lelaki pada Kejohanan Boling Antara Bandaraya Asia Ke-29 baru-baru ini.

KUCHING: Prestasi cemerlang pada Kejohanan Boling Antara Bandar Raya Asia Ke-29 memberi dorongan besar kepada pemain remaja negara Christopher Tiong Lee Siong untuk menyahut cabaran SUKMA XVIII pada Julai tahun depan.

Tiong yang mewakili Kuching Utara membantu pasukannya untuk menduduki tempat kedua dalam pertandingan antara 15 kumpulan di Megalanes Adventure World pada 9 hingga 16 November lalu dengan memenangi dua pingat emas dan satu perak untuk kutipan keseluruhan dengan tiga emas, 11 perak dan empat gangsa.

Pingat emas yang dimenangi pelajar Universiti Swinburne berusia 18 tahun itu diperolehi pada Kejohanan Master Lelaki dan Beregu Lelaki, manakala perak dimenangi pada acara All-Events Lelaki sekali gus merupakan kejayaan besar buatnya.

“Ya, saya berasa amat gembira dapat menewaskan Joseph (Emmanuel Ang) dalam pusingan akhir. Ia bukan mudah dan bagi saya, kekuatan mental membolehkan saya melalui cabaran itu,” ujarnya.

Beliau turut terkejut dan tidak menyangka apabila meraih kemenangan selepas hanya menyasar kedudukan empat teratas.

Ia juga merupakan pencapaian terbaik Tiong pada tahun ini selepas memenangi pingat gangsa dalam acara pasukan pada Kejohanan Boling Belia Asia di Hong Kong, tempat keempat di Belia Terbuka Pbap di Filipina dan tempat ketiga dalam acara berpasukan pada Kejohanan Pasukan Antara Negeri tahun ini.

Malah, beliau nyaris tewas kepada Park Min Su pada separuh akhir memandangkan pemain Korea Selatan melakukan tujuh ‘strike’ berturut- turut pada perlawanan kedua, namun Tiong tetap bertenang untuk skor 289 menentang lawan 229.

Beliau menang perlawanan pertama 227-181.

“Apabila saya menang pada separuh akhir, keyakinan saya meningkat dan saya meletakkan fokus pada pusingan akhir. Ini merupakan kali pertama saya bermain dalam format sedemikian.

“Pencapaian saya kurang baik awal tahun ini tetapi selepas kembali ke Sarawak pada Julai, ia semakin bertambah baik di bawah pimpinan jurulatih saya, Jackson Ting,” katanya.

Tiong berharap dapat mengekalkan prestasi dan cemerlang dalam tugasan seterusnya iaitu International All-Stars di Kuala Lumpur dan Pesta Pulau Pinang.

Sebelum SUKMA XVIII, Tiong akan bermain dalam beberapa kejohanan seperti pertandingan di Australia pada Januari, Terbuka Singapura, Terbuka Thailand, Terbuka Malaysia dan Tertutup Antara Negeri dan Negara.

Advertisement