Anda di sini

Argentina, Brazil kembali ‘bernafas’

Advertisement

Chile tumpas kepada Uruguay 3-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Amerika Selatan

MONTEVIDEO, Uruguay: Argentina dan Brazil mengembalikan cabaran kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Amerika Selatan selepas masing-masing mencipta kemenangan sementara juara Copa Amerika, Chile, tewas kepada Uruguay Selasa lepas.

Juara dunia dua kali, Argentina – yang hanya mengutip dua mata dari tiga perlawanan pertama – mencipta kemenangan pertama mereka dengan menewaskan Colombia 1-0 di Barranquilla menerusi gol Lucas Biglia dalam separuh masa pertama.

Brazil sementara itu mempamerkan aksi terbaik mereka dalam kempen kelayakan setakat ini apabila menewaskan Peru 3-0 di Salvador.

Douglas Costa menjaringkan satu gol dan mengumpan dua lagi gol ketika Brazil mudah menewaskan pasukan yang melangkah ke separuh akhir Copa Amerika.

Di Montevideo, Uruguay menebus kehampaan tewas di suku akhir Copa Amerika dengan menewaskan Chile 3-0.

Kemenangan itu melonjak Uruguay ke tangga kedua Zon Amerika Selatan dengan sembilan mata dari empat perlawanan, tiga mata di belakang Ecuador, yang mencipta kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan Venezuela 3-1 pada perlawanan lain.

Kemenangan Brazil membolehkan mereka naik ke tangga ketiga dengan tujuh mata, di hadapan Paraguay dan Chile dengan hanya kelebihan gol.

Kemenangan Argentina melonjak mereka ke tangga keenam, di luar lima tangga teratas kelayakan.

Tetapi Argentina boleh berasa yakin di mana mereka boleh kembali memberikan saingan apabila kempen kelayakan akan disambung semula pada bulan Mac dan menjangkakan bintang utamanya, Lionel Messi, Sergio Aguero dan Carlos Tevez dijangka cergas untuk beraksi.

Tekanan ke atas jurulatih Argentina, Gerardo Martino berkurangan apabila Biglia membuka jaringan pada minit ke-19 di mana pemain tengah kelab Lazio itu menyempurnakan bola dengan mudah selepas penjaga gol Cristian Zapata gagal menangani hantaran lintang Ezequiel Lavezzi.

“Secara adil, kami selayaknya menang. Kami boleh menjaringkan banyak lagi gol,” kata Martino.

Brazil berterima kasih dengan aksi cemerlang Costa di atas kemenangan mereka.

Bintang kelab Bayern Munich itu membuka jaringan pada minit ke-22 dari satu umpanan Willian dan kemudian mengumpan bola kepada Renato Augusto untuk gol kedua pada minit ke-57.

Gol ketiga hadir dengan rembatan Costa gagal ditangkap kemas penjaga gol Peru, Diego Penny, membolehkan Filipe Luis menolak masuk bola muntah.

Di Montevideo, semua perhatian ke atas pemain pertahanan Chile, Gonzalo Jara dan penyerang Uruguay, Edinson Cavani selepas kedua-dua pemain bertemu buat kali pertama selepas pergaduhan di Copa Amerika pada bulan Jun.

Pada perlawanan itu, Cavani dibuang padang kerana menyerang Jara ketika pemain pertahanan itu mencucuk jari ke belakang Cavani.

Jara kemudian digantung tiga perlawanan kerana insiden itu.

Perlawanan Selasa lepas, seperti yang dijangkakan, diselubungi ketegangan dengan banyak terjahan keras berlaku pada 20 minit pertama permainan.

Uruguay bagaimanapun membuka jaringan apabila Diego Godin menjaringkan satu gol dari tendangan percuma pada minit ke-22 sebelum Alvaro Pereira pada minit ke-61 dan Martin Caceres pada minit ke-65 menamatkan saingan Chile, yang turut mengalami kekalahan pertama dalam kempen kelayakan ini.

Apa yang memburukkan lagi keadaan, pemain tengah Chile, Jorge Valdivia dilayangkan kad merah selepas tamat permainan kerana kata-kata kesat ke arah pengadil perlawanan, Wilmar Roldan, yang sudah mengeluarkan tujuh kad kuning pada perlawanan itu.

Ecuador mengekalkan rekod bersih kemenangan selepas memastikan kekalahan keempat berturut-turut buat Venezuela.

Gol oleh Fidel Martinez, Jefferson Montero dan Felipe Caicedo meletakkan Ecuador selesa di hadapan sementara pada perlawanan lain, Paraguay menewaskan Bolivia 2-1 di Asuncion. — AFP

Advertisement