Anda di sini

Wanita didakwa guna Facebook hina agensi penguat kuasa

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang wanita tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet dan membuat komen yang bersifat menghina sebuah agensi penguatkuasaan polis.

Hakim Azreena Aziz menetapkan pada 4 hingga 6 April tahun hadapan untuk tarikh perbicaraan terhadap Norita Salamah Zaman, 29, selepas mengaku tidak bersalah untuk kedua-dua pertuduhan itu.

Pertama, tertuduh dituduh membuat dan memula penghantaran komen “Jaga-jaga kamu, belum semua rakyat Malaysia dapat BR1M, sibuk sudah anjing-anjing putih si Najip cari duit untuk dia dan poket tapuk anjing itu sendiri. Kalau pakai tali pinggang keledar itu, kasi lurus betul-betul. Nanti kena saman sebab bergulung itu tali pinggang keledar.”

Tertuduh didakwa membuat komen itu di dalam laman sosial Facebook miliknya, dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kedua, Norita didakwa membuat komen “Trafik Papar cari duit cara keji. Bodohkah bangang Trafik Papar, boleh-boleh saman laju di kawasan lorong memotong jalan Bongawan itu. Laju 90km sejam, sudahlah tiada signboard had laju, gulung baliklah itu jalan tiga hala. Gilakah mahu suruh orang memotong tapi laju 90 saja di sana, siap ada signbord Lorong Memotong tapi tidak boleh laju lebih 90. Siapa-siapa mau jalan itu boleh siap-siap bawa batu kah apa-apa saja yang boleh baling kepala otak trafik yang jaga di sana. Sebab bangang sangat.”

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada 8 April tahun lalu jam 9 malam di Taman Sri Panglima, Beaufort.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika disabitkan bersalah, boleh didenda maksimum RM5,0000 atau penjara sehingga tempoh tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Chow Kiong Siang menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 untuk setiap pertuduhan.

Beliau juga mensyaratkan tertuduh melaporkan diri di balai polis sekali dalam sebulan.

Bagaimanapun, peguam Luke Ressa Balang meminta jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM2,000 untuk setiap pertuduhan.

Katanya, anak guamnya bekerja sebagai pembantu di Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama lapan tahun dan mempunyai seorang anak.

Mahkamah membenarkan Norita diikat jamin sebanyak RM5,000 deposit RM2,500 yang dicagarkan dua penjamin tempatan.

Dalam pada itu, Chow memberitahu pihaknya akan memanggil sepuluh saksi untuk memberikan keterangan.

 

 

Advertisement