KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam bahawa seorang daripada dua isteri tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu tidak tahu suaminya berdepan hukuman mati jika disabitkan dengan pertuduhan terhadapnya.
Memberi keterangan sebagai saksi terlindung, isteri tertuduh, Mohamad Ali Ahmad, berkata dia hanya difahamkan bahawa tertuduh bersubahat bersama sekumpulan lelaki Sulu bersenjata yang menceroboh ke Kampung Tanduo pada Februari 2013.
“Saya tidak tahu tentang hukuman. Apa yang saya tahu dan lihat tindakannya (Mohamad Ali) adalah membantu (kumpulan lelaki Sulu),” katanya menerusi jurubahasa mahkamah yang memakai fon telinga untuk mengikuti keterangannya.
Saksi itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dalam perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan itu.
Mohd Dusuki meminta saksi itu supaya memberi penjelasan lanjut terhadap jawapannya apabila peguam Kamarudin Mohamad Chinki bertanya sama ada dia tidak akan mahu memberi keterangan terhadap suaminya jika dia tahu Mohamad Ali sedang berdepan hukuman mati.
Mohamad Ali didakwa melakukan penderhakaan dengan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan; dan menganggotai sebuah kumpulan pengganas, yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
Saksi itu seterusnya memberitahu mahkamah bahawa dia memilih untuk memberi keterangan terhadap tertuduh atas pilihan dan kerelaan hati sendiri.
Semasa pemeriksaan balas, saksi itu berkata perkahwinannya dan tertuduh adalah bahagia dan tiada sebab untuk dia tidak sukakan suaminya itu.
Wanita itu tidak bersetuju dengan Kamarudin bahawa dia telah dijanjikan sesuatu supaya memberi keterangan terhadap Mohamad Ali.
Saksi itu berkata dia menggadai barangan kemasnya di sebuah pajak gadai di Felda Sahabat 16 untuk membeli bahan api dan makanan semasa bersembunyi bersama suami serta madunya daripada pasukan keselamatan, tetapi tidak dapat mengingati nama kedai pajak gadai itu.
Di kandang tertuduh adalah 27 rakyat Filipina dan tiga lelaki tempatan yang berdepan satu hingga pelbagai pertuduhan menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Mereka juga didakwa merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.
Perbicaraan di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama