Anda di sini

Ubah tingkah laku: JKJR

Advertisement

40% kemalangan jalan raya melibatkan golongan muda

 Herdiansah (tengah) menyempurnakan perasmian sambutan memperingati mangsa kemalangan jalan raya sedunia 2015 peringkat negeri Sabah. Turut kelihatan Florisca (dua kanan).

UBAH SIKAP: Herdiansah (tengah) menyempurnakan perasmian sambutan memperingati mangsa kemalangan jalan raya sedunia 2015 peringkat negeri Sabah. Turut kelihatan Florisca (dua kanan).

KOTA KINABALU: Pengguna jalan raya khususnya golongan muda perlu melakukan perubahan tingkah laku yang positif ketika berada di jalan raya bagi mengelak daripada terlibat dalam kemalangan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah Herdiansah Abdul Karim berkata, 40 peratus kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini melibatkan golongan muda yang berumur 16 hingga 25 tahun.

“Fakta sedemikian menyebabkan JKJR melaksanakan program sambutan memperingati mangsa kemalangan jalan raya sedunia 2015 peringkat negeri Sabah.

“Kali ini kita mengadakan di institusi swasta seperti Kolej Cosmopoint Kota Kinabalu yang mana sebelum itu JKJR mengadakan program yang sama di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya ketika merasmikan sambutan memperingati mangsa kemalangan jalan raya sedunia 2015 peringkat negeri Sabah, di sini kelmarin.

Katanya, usaha itu akan diteruskan ke peringkat sekolah rendah dan menengah pada tahun hadapan untuk mengingkatkan kesedaran dalam kalangan remaja.

Herdiansah berkata, JKJR yakin mampu mengurangkan risiko kemalangan dalam kalangan golongan muda pada masa hadapan.

“Sepanjang tempoh 2010 sehingga 2014, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, Sabah sahaja mencatatkan sebanyak 86,616 kes kemalangan jalan raya dengan melibatkan sebanyak 2,135 kematian.

“Bagaimanapun, pada 2014 Sabah mencatatkan 17,693 kes kemalangan jalan raya dengan penurunan sebanyak 5.69 peratus,” katanya.

Beliau berharap pengguna jalan raya khususnya golongan muda dapat memainkan peranan bersama-sama untuk mengutamakan keselamatan diri dan orang lain ketika berada di jalan raya.

Sementara itu, Ketua Eksekitif Kolej Cosmopoint Kota Kinabalu Florisca Doris Francis berkata kerjasama yang diadakan bersama JKJR adalah penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar betapa pentingnya keselamatan di jalan raya.

Katanya, pihak kolej juga berterima kasih kerana dipilih sebagai lokasi penganjuran program yang sangat penting itu.

Advertisement