Anda di sini

JDT bakal jalin kerjasama dengan beberapa kelab terkemuka dunia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dijangka memperluaskan jaringan usahasama antara kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan beberapa kelab terkemuka dunia.

PBNJ menerusi laman Facebook rasmi JDT; The Southern Tigers memaklumkan Penaung Diraja PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan memulakan lawatan kerja ke Eropah bermula 3 Disember ini.

Baginda akan memulakan lawatan ke atas pemilik dan pengurusan kelab Valencia CF di Sepanyol bagi membincangkan kerjasama yang bakal dijalinkan antara kedua- dua kelab berkenaan.

Baginda juga dijangka mengadakan mesyuarat bersama pihak pengurusan Barcelona FC sebelum melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Real Madrid CF, Florentino P’rez.

“Sebelum berangkat pulang ke Johor , DYAM Tunku Ismail dijadual bertemu Naseer Al-Khela-fi, Presiden Paris St Germain (dari Perancis), untuk membincangkan peluang menjalinkan jaringan usahasama dengan kelab gergasi Eropah itu,” demikian menurut PBNJ.

Dalam pada itu, PBNJ memaklumkan program pembangunan akar umbi JDT bersama kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund yang terjalin sejak awal tahun ini, akan diteruskan dalam usaha melahirkan pemain muda berkaliber pada masa akan datang.

Persatuan berkenaan menyatakan segala perancangan yang sedang diusahakan itu juga bermatlamat memastikan masa depan skuad Harimau Selatan sentiasa cerah dan memantapkan sumber serta pengurusan kewangan kelab. — Bernama

Advertisement