Anda di sini

Harimau pasti mengaum

Advertisement

Malaysia perlu menewaskan UAE bagi menebus maruah yang tercemar, tegas Kim Swee

C_PC0009508KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya perlu menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menebus maruah yang tercemar apabila keduadua pasukan bertemu di Stadium Shah Alam malam ini.

Bagi ketua jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee kekalahan 0-10 dalam aksi di gelanggang lawan pada 3 September lepas harus dilupakan, sebaliknya perlu turun dengan azam tinggi dalam perlawanan timbal balik pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu.

“Saya harap pemain dapat menebus semula maruah dengan aksi yang lebih baik. Skuad ini sudah melalui banyak rintangan tahun ini terutama keputusan yang t idak memihak kepada kita,” katanya dalam sidang media semalam.

Berikutan itu, Kim Swee mahu pemainnya bangkit dengan memberi persembahan lebih baik untuk perlawanan malam ini dan kekal fokus sepanjang 90 minit permainan agar mendapat keputusan yang positif.

Sambil mengakui UAE bukan lawan yang mudah apa lagi selepas menghasilkan 20 gol sepanjang aksi peringkat kelayakan ini, Kim Swee percaya pemainnya mampu mencatat keputusan yang baik.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee berkata pandangan beberapa pihak yang mahu skuad itu dibubarkan bukan tindakan yang baik kerana itulah satu-satunya pasukan senior yang mewakili negara di pentas antarabangsa.

Beliau juga percaya proses peralihan skuad itu akan berlaku secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun.

Sementara itu, kapten skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim berkata mereka mahu memberikan persembahan terbaik walaupun beraksi di laman sendiri tanpa penyokong susulan hukuman yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA sebelum ini mendenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebanyak 40,000 swiss francs (RM180,000) dan satu perlawanan tanpa penonton selain kemenangan 3-0 diberi kepada Arab Saudi, berikutan kekecohan yang dilakukan penyokong negara dalam pertemuan di Stadium Shah Alam pada 8 Sept itu.

“Saya percaya semua pemain mahu keputusan positif esok dan kita nak bagi persembahan terbaik untuk negara. Kita mahu kembalikan maruah Harimau Malaya dan Malaysia.

“Perlawanan tanpa penyokong memang agak berlainan tapi kita kena teruskan perjuangan dan misi ini. Saya harap semangat kami tidak luntur tanpa kehadiran penyokong,” kata Safiq yang juga perancang tengah kelab Johor Darul Ta’zim. — Bernama

Advertisement