Anda di sini

Persela dan Planet ‘raja’ futsal 2015

Advertisement
 Barisan pemain serta jurulatih Persela A dan Planet Futsal Academy Milo bersama Sulaiman (tiga kiri) dan Wan Ali (kanan) pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Futsal Piala Utusan Borneo 2015 di Kuching semalam.

TAHNIAH: Barisan pemain serta jurulatih Persela A dan Planet Futsal Academy Milo bersama Sulaiman (tiga kiri) dan Wan Ali (kanan) pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Futsal Piala Utusan Borneo 2015 di Kuching semalam.

Dinobatkan juara Kejohanan Futsal Piala Utusan Borneo bagi kategori terbuka dan bawah 12 tahun

Oleh Harry Illias //

KUCHING: Pasukan pilihan, Persela A dan Planet Futsal Academy Milo dinobatkan juara Kejohanan Futsal Piala Utusan Borneo 2015 edisi kedua kategori terbuka dan bawah 12 tahun yang melabuhkan tirainya di Stadium Futsal Coneli, Jalan Matang di sini semalam.

Persela A menepati ramalan apabila berjaya muncul juara selepas menundukkan juara bertahan, De Reaza FC dengan jaringan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa perlawanan sebenar.

Gol kemenangan Persela A dijaringkan oleh Mohd Asrullah Drahman.

Manakala tempat ketiga bersama bagi kategori terbuka dirangkul Persela B dan Beak United.

Sementara itu, Planet Futsal Academy Milo memastikan trofi kejuaraan menjadi milik mereka selepas membenam Ogie Team dengan jaringan 5-0 dalam final kategori bawah 12 tahun.

Gol-gol mereka dijaringkan oleh Wan Danish Wan Lufti, Radziman Ridzuan (dua gol) dan Ahmad Garcia Saiful Bohari (dua gol).

Tempat ketiga bersama bagi kategori bawah 12 tahun milik pasukan Three- Jay Junior FC dan Segong Junior.

Selaku juara, Persela A membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500, trofi, pingat dan sijil manakala De Reaza FC menggondol RM900, trofi, pingat dan sijil.

Persela B dan Beak United masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 berserta pingat dan sijil.

Planet Futsal Academy Milo pula menggondol hadiah wang tunai RM600 berserta trofi, pingat dan sijil manakala Ogie Team meraih RM450 serta trofi, pingat dan sijil.

Manakala Three-Jay Junior FC dan Segong Junior masingmasing menerima RM250, pingat dan sijil.

Sementara itu, pemain Persela A, Ismail Ahmad diumumkan selaku Penjaring Terbanyak sekali gus menerima hadiah wang tunain RM100.

Pasukan De Rieza pula dinobatkan Pasukan Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik dimenangi Yasser Arafat Solhi.

Selaku pasukan terbaik, De Rieza membawa pulang RM200 manakala Yasser menerima RM100.

Bagi kategori bawah 12 tahun, anugerah Penjaring Terbanyak dan Penjaga Gol Terbaik masing-masing dimenangi Mohd Radziman dan Fatihie Zambia dari pasukan Planet Futsal Academy Milo.

Kedua-duanya menerima RM50.

Pasukan terbaik pula dimenangi Ogie Team untuk menerima RM100.

Ketua Jurulatih Persela A, Junaidi Suadi ternyata amat bersyukur dengan kejayaan pasukan bimbingannya menjuarai kejohanan ini buat kali pertamanya.

“Kemenangan ini berkat dedikasi serta komitmen semua pemain yang beraksi dengan bersungguh-sungguh dan cemerlang sepanjang kejohanan ini,” katanya ditemui selepas perlawanan di sini semalam.

Sementara Ketua Jurulatih Planet Futsal Academy Milo, Zamri Amat berkata kejayaan menjuarai kategori bawah 12 tahun sememangnya di luar jangkaan kerana mereka terpaksa bersaing dengan pasukan- pasukan yang hebat dan mantap.

“Kejayaan sulung ini akan menjadi perangsang dan pencetus semangat kepada anak-anak buah saya untuk menyertai Kejohanan Piala Milo Bawah 12 Tahun di Kuala Lumpur pada bulan depan,” katanya.

Hadiah-hadiah pemenang disampaikan oleh Pengarang Urusan Utusan Borneo, Sulaiman Bujang, Ketua Wartawan Utusan Borneo, Saibi Gi dan wakil See Hua Marketing Sdn Bhd, Barry Lim.

Hadir sama Pengarang (Sukan) Wan Ali Amit serta ahli-ahli jawatankuasa penganjur.

 

Advertisement